GAMBAR HIASAN

Tandas sekolah pun kena tegur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKHIR-AKHIR ini kita dihidangkan dengan gambar dan cerita mengenai tandas sekolah yang kini serba cantik dan tampak eksklusif.

Dari pintu masuk, lantai sinki semuanya lain daripada tandas lama sejak berpuluh tahun. Cantik dan nampak mewah untuk pelajar sekolah.

Perubahan ini bermula daripada teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan masih banyak tandas sekolah di seluruh negara dalam keadaan rosak sejak puluhan tahun tanpa sebarang tindakan diambil.

Dapatan itu diperoleh selepas Anwar mengarahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memeriksa keadaan tandas sekolah yang diakuinya menyedihkan.

Bertitik tolak dari itu, Perdana Menteri menyalurkan peruntukan sebanyak RM700,000 untuk memperbaiki kemudahan para pelajar yang busuk dan rosak.

Sebenarnya, isu tandas sekolah kotor bukanlah sesuatu yang pelik dan walaupun sudah berada di abad ke-21, isu berkenaan masih lagi berterusan seolah-olah tiada penamatnya.

Sudah tentu, sebagai ibu bapa kita biasa mendengar ada murid yang sanggup menahan membuang air kerana tandas sekolah yang kotor dan serba serbi kurang dari segi fasiliti.
Mereka ini sanggup pulang ke rumah.

Semuanya kerana ada segelintir pelajar tidak bertanggungjawab melakukan vandalisme dan merosakkan barangan yang terdapat di tandas.

Sebagai contoh, paip dan pengepam air yang telah dirosakkan sehingga tidak lagi boleh digunakan menyebabkan tandas menjadi kotor dan berbau.

Ada sekolah tiada langsung tong sampah di tandas.

Malah daripada enam tandas disediakan mungkin dua sahaja yang boleh digunakan, mana mungkin dapat menampung ribuan murid.

Slogan tandas bersih, murid sihat dan kebersihan tandas, tanggungjawab bersama sekadar angin lalu.

Biarpun ada kata-kata dilontarkan bahawa teguran Perdana Menteri nampak remeh, namun besar ertinya pada warga sekolah, pelajar dan ibu bapa.
Kerana teguran Perdana Menteri itulah semua jadi elok dan cantik.

Sebenarnya, sudah lama tandas sekolah tidak mendapat perhatian sewajarnya. Biasanya peruntukan untuk proses pembaikan kerosakan sahaja.

Secara jujur perlu ada pembaikan secara menyeluruh sekali gus mampu mengubah persepsi tandas sekolah serba kekurangan.

Biarpun ada yang nampak membazir, namun pendidikan sahsiah murid bermula di sekolah.

Bagaimanapun selepas kemudahan tandas, lihatlah juga kemudahan bilik darjah, kerusi, papan hitam, tingkap dan cermin serta pintu. Sikit-sikit buat perubahan lama-lama jadi cantiklah dia.
Semuanya demi anak-anak kita juga.

Kepada pihak berkuasa, selepas tandas sekolah, boleh lihat tandas di bangunan-bangunan kerajaan terutamanya klinik kesihatan. Tinjaulah pintu rosak, pam rosak selain pili air pun tercabut.

Kepada pelajar sekolah, jagalah tandas yang sudah dibaik pulih ini. Jagalah dengan sebaiknya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN