fbpx

Bungkus 10.35kg syabu dalam kedai tayar, eksport guna kurier

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUL ZAMAN (dua dari kanan) menunjukkan gambar dua suspek yang dikhendaki pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

JOHOR BAHRU – Sebuah sindiket yang mengeksport dadah ke luar negara tumpas selepas tiga ahlinya ditahan dalam dua serbuan di sekitar kawasan Kulai dan Kempas, di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) itu berjaya menahan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 33 hingga 40 tahun.

Katanya, operasi yang dijalankan pada Selasa lalu kira-kira pukul 5 petang telah membuat serbuan pertama di sebuah premis di kawasan perindustrian Senai yang dipercayai cuba dieksport ke luar negara menggunakan perkhidmatan syarikat kurier.

“Hasil pemeriksaan mendapati sindiket pengedaran dadah ini menggunakan modus operandi dengan menyorokkan bungkusan di dalam soket lampu LED bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Susulan itu, polis melakukan melakukan serbuan kedua ke sebuah kedai tayar di Kempas yang dijadikan tempat pembungkusan dadah tersebut sebelum dieksport ke luar negara.

KAMARUL ZAMAN menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini. – Foto oleh RAJA JAAFAR ALl / KOSMO!

“Polis menahan tiga suspek di premis tersebut bersama sejumlah rampasan dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 166 peket dadah jenis syabu seberat 10.35 kilogram (kg) bernilai RM341,616, dua buah kereta, sebentuk cincin, tiga jam tangan dan wang tunai bernilai RM2,920.

“Polis turut memburu dua lagi suspek yang iaitu seorang wanita bernama Jiang Bixia berusia 39 tahun dan seorang lelaki, Kong Bin Rui berusia 29 tahun.

“Orang ramai yang mengenali individu ini boleh menghubungi balai polis berhampiran. Suspek ini dipercayai masih di dalam negara dengan alamat terkini kedua-dua suspek ialah Wave Marina Cove, Jalan Sultan Aminah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI