fbpx

90 acara sepanjang Tahun Melawat Perak 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sze Yee (kiri) melihat iklan di dalam sebuah ETS di Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur semalam.

IPOH – Perak bersedia untuk menyambut para pelancong dari dalam dan luar negara dengan menyediakan pelbagai pakej menarik dan menyenaraikan sebanyak 90 acara pelancongan di peringkat daerah dan negeri dengan tagline Promising Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihak kerajaan negeri juga sedang melaksanakan kerja-kerja naik taraf lokasi pelancongan dan aktiviti promosi juga giat dilakukan bagi menarik lebih lagi minat pelancong untuk datang ke negeri ini.

“Inisiatif dan aktiviti promosi ini tidak akan terhenti di program ini sahaja, pelbagai perancangan dan perlaksanaan akan diadakan sebelum dan semasa Tahun Melawat Perak 2024 seperti mewujudkan pakej khas pelancongan Railtourism, pengiklanan khas di Media Prima dan Perak FM, pengiklanan khas di TikTok.

“Sebentar tadi (semalam) kita telah diperkenalkan dengan maskot pelancongan baharu iaitu Kopita, diberi nama daripada singkatan kopi tarik. Maka dengan ini pelancongan di Perak telah mempunyai dua maskot utama iaitu Kopiro dan Kopita,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee di Majlis Pelancaran Perak Internal Wrapping ETS (perkhidmatan tren elektrik) Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, difahamkan Perak merupakan negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan promosi dan pengiklanan secara Internal Wrapping di dalam ETS.

“Difahamkan sebanyak 200,000 orang akan menggunakan perkhidmatan ETS sebulan yang meliputi wilayah tengah, utara dan selatan semenanjung Malaysia dengan 32 perjalanan setiap hari dan purata 11,000 penumpang setiap hari.

“Suka saya maklumkan di sini pada tahun 2022, lebih dari 2.14 juta penumpang menggunakan perkhidmatan ETS di negeri Perak. Antara stesen tertinggi adalah Ipoh iaitu seramai 911,286 penumpang, Taiping (290,024 penumpang) dan Batu Gajah (228,312 penumpang).

“Saya juga turut dimaklumkan, terdapat perkhidmatan baharu yang telah dilaksanakan oleh pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) iaitu KTM Komuter Utara laluan dari Ipoh ke Butterworth dan Butterworth ke Padang Besar dengan 56 perkhidmatan sehari, berikutan lanjutan perkhidmatan dari Ipoh, Sungai Siput dan Kuala Kangsar pada 16 September 2023,” katanya.

Saarani berkata, kedua-dua perkhidmatan yang disediakan oleh KTM Berhad ini dapat menyumbang kepada peningkatan penumpang ke Perak di samping dapat merancakkan sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Negeri Perak 2024.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengiklanan khas sempena Tahun Melawat Perak itu akan dilaksanakan selama 18 bulan bermula Oktober 2023 hingga Januari 2025.

Katanya, ia mengetengahkan kelainan melalui enam tema utama iaitu Warisan, Makanan, Alam Semula Jadi, Hiburan dan Keluarga serta Kraftangan yang terdapat di negeri Perak.

“Tema-tema ini dipilih untuk memberikan pengalaman merasai suasana seperti kita berada di negeri Perak sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI