fbpx

Murah hati, Zara Zya bantu peniaga gula-gula kapas pula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIKAP murah hati Zara Zya yang selalu membantu peniaga kecil dipuji orang ramai.

PETALING JAYA – Selepas berkongsi rezeki dengan memborong kuih peneram daripada peniaga jalanan, pelakon, Zara Zya sekali lagi meraih perhatian ramai apabila membeli kesemua gula-gula kapas yang dijual seorang wanita berbangsa India.

Sama seperti niatnya sebelum ini, Zara atau nama lengkapnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 38, terpanggil untuk memborong  jualan wanita itu kerana mahu membantu perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan.

Menerusi hantaran video yang dikongsikan Zara dalam Instagram miliknya, pelakon itu dilihat singgah menyapa seorang penjual gula-gula kapas di kaki lima yang terletak di hadapan sebuah bank.

“Tadi masa jalan-jalan saya nampak adik India ini jual gula-gula kapas. Teruja pula tengok bila nampak makanan kegemaran saya ketika kecil.

“Kebetulan adik ini berniaga sebab nak bantu ibunya cari duit lebih,” ujar Zara.

Tambah pelakon drama Risik Pada Hati itu lagi, atas niat ingin membantu wanita tersebut, dia telah memborong kesemua jualan wanita tersebut untuk disedekahkan kepada orang ramai yang lalu di kaki lima itu.

“Terdetik untuk bantu adik ini dengan habiskan jualannya pada hari itu. Jadi, saya minta dia bungkus semua gula-gula kapas yang ada untuk diberikan kepada orang lain yang lalu di tempat itu,” jelasnya.

Niat murni Zara yang sering membantu peniaga-peniaga kecil turut membuatkan pengikutnya dalam Instagram ikut sama gembira dan mendoakan agar dia sentiasa dimurahkan rezeki.

“Untuk Zara, semoga sentiasa dimurahkan rezeki,” ujar seorang pengikutnya.

“Moga selalu dimewahkan dengan rezeki,” kata seorang netizen.

“Terima kasih Zara. Insan yang baik hati,” puji seorang lagi netizen.

Zara sebelum ini pernah beberapa kali membantu peniaga kecil di pinggir jalan dengan memborong dagangan mereka dengan niat untuk bersedekah dan membantu.

Kata Zara, selain ingin membantu daripada segi wang ringgit, tindakannya itu juga membolehkan peniaga kecil pulang awal pada hari tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI