fbpx

Menantu Muhyiddin: PDRM yakin notis merah bakal dikeluarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PDRM masih menunggu maklum balas Interpol Lyon berikutan kes menantu Muhyiddin. Foto oleh AMIN AZMAN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu jawapan Polis Antarabangsa (Interpol) di Lyon, Perancis berhubung permohonan notis merah berhubung kes menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Muhammad Adlan Berhan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, permohonan berkenaan telah dihantar kepada Interpol selepas maklumat serta dokumen diperlukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) diserahkan 3 Oktober lalu.

“Interpol telah menghantar dokumen kepada Interpol Lyon dan masih menunggu jawaban mereka. Kita yakin notis merah akan dikeluarkan.

“Jawapan SPRM pun kita telah dapat pada 3 Oktober lepas termasuk jawapan-jawapan yang diperlukan serta dokumen yang dimahukan Interpol telah diserahkan,” ujarnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Terdahulu Kosmo! melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melengkapkan notis merah Interpol bagi siasatan terhadap menantu bekas Perdana Menteri itu pada Isnin.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hal itu akan dilakukan apabila beliau sendiri akan berjumpa dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Katanya, perjumpaan itu antara lain adalah untuk melakukan penyelarasan antara SPRM dan pihak KDN bagi melengkapkan keperluan memohon notis merah Interpol. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI