fbpx

Saman parkir depan rumah dikuat kuasa demi keharmonian jiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASMAN SHAH (duduk dua kanan) mengadakan sidang akhbar di Menara Aqabah, Pasir Gudang berhubung isu larangan meletak kenderaan di hadapan rumah dan laluan awam.

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) melaksanakan penguatkuasaan larangan meletak kenderaan di hadapan kediaman adalah bertujuan untuk menjaga keharmonian antara jiran-jiran di bandar raya ini.

Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd. Rahman berkata, ini kerana isu berkenaan telah menimbulkan banyak pergaduhan antara penduduk di kawasan kediaman masing-masing.

Beliau bagaimanapun berkata, penguatkuasaan undang-undang itu dijangka hanya akan mula dilaksana tahun depan, di mana pihaknya akan melakukan kempen kesedaran terlebih dahulu.

“Undang-undang ini telah lama ada, cuma perkara ini tular selepas terdapat perbincangan untuk menguatkuasakan peraturan itu ekoran ratusan aduan diterima MBPG. Tahun lalu kita terima 242 aduan, manakala sehingga September tahun ini, kita terima 349 aduan.

“Majoriti daripada aduan tersebut dibuat jiran-jiran yang memaklumkan mereka bergaduh dan tidak bertegur sapa antara satu sama lain disebabkan perkara ini selama bertahun-tahun. Jadi sudah tiba masa kita kuat kuasa undang-undang ini demi keharmonian masyarakat dan penduduk.

“Hasrat kami adalah untuk memulihkan hubungan sesama anggota masyarakat. Pada masa sama kita juga tidak mahu membebankan lagi masyarakat tanpa sebab yang wajar,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Menara Aqabah, Pasir Gudang, di sini hari ini.

Tambah Asman Shah, tindakan penguatkuasaan itu juga merupakan tanggungjawab pihaknya kepada pembayar cukai di kawasan Pasir Gudang.

“Kita perlu bertindak terhadap setiap aduan diterima kerana tidak mahu dituduh sebagai tidak melaksanakan tanggungjawab. Walaubagaimanapun, penguatkuasaan undang-undang itu dijangka hanya dibuat tahun depan.

“Kita akan adakan kempen kesedaran bagi mendidik masyarakat tentang peraturan itu tahun ini. Sebelum ini kita beri kelonggaran kepada dan tidak mengenakan tindakan tegas sebaliknya bersikap fleksibel, namun apabila perkara itu perlu dilaksana, kita akan laksanakan,” ujarnya.

Asman Shah turut memberitahu, pihaknya telah mengeluarkan lapan notis berhubung kesalahan tersebut bagaimanapun masih tiada kompaun dikenakan kepada mana-mana pemilik kenderaan.

“Apabila kita terima aduan, kita akan buat pemeriksaan terlebih dahulu dan sekiranya benar aduan itu, kita akan berikan notis selama 21 hari untuk pemilik kenderaan mengalihkan kenderaan mereka.

“Sekiranya masih berdegil, baharulah tindakan kompaun dibuat melibatkan jumlah minimum sebanyak RM100 dan maksimum sebanyak RM2,000 bagi kesalahan berulang.

“Saya rasa penguatkuasaan ini satu perkara yang bagus dan majoriti maklum balas kita terima adalah positif yang mana mereka menyokong ia dikuatkuasakan,” jelasnya lanjut.

Beberapa hari lalu, tular satu notis pemberitahuan MBPG yang menyatakan larangan meletakkan kenderaan di hadapan rumah termasuk di luar pagar sehingga mendapat pelbagai reaksi penduduk Pasir Gudang, termasuk kepimpinan politik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI