fbpx

Rang Undang-Undang berkaitan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah LHDN akan dibentang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Maslan (dua dari kiri) melihat jualan Rahmah sempena program Kita Madani Peringkat Negeri Johor di Dataran Majlis Perbandaran Pontian, di Pontian, disini, hari ini.

PONTIAN – Kementerian Kewangan akan membentangkan satu rang undang-undang pindaan Lembaga Hasil Dalam Negeri ( LHDN ) bagi melantik secara tetap wakil dalam agensi tersebut dari Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebelum ini telah ada wakil dari kedua-dua negeri tersebut sebagai Ahli Lembaga Pengarah LHDN namun dilantik oleh Menteri Kewangan.

Katanya, dengan pembentangan rang undang-undang itu, perlantikan Ahli Lembaga Pengarah selepas ini akan dirujuk dan mendapat persetujuan dari Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.

Menurut beliau, langkah ini bagi menghormati semangat MA63 bagi memastikan perlantikan Ahli Lembaga Pengarah tersebut benar-benar menepati kehendak dan harapan kedua-dua kerajaan negeri.

“Saya menjangka tiada sebarang halangan untuk ahli-ahli Parlimen menyokong rang-rang undang tersebut sebelum Bajet 2024 dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada 13 Oktober ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kita Madani Peringkat Negeri Johor di Dataran Majlis Perbandaran Pontian, disini, pagi ini.

Tambah Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, sebelum ini pihaknya telah membentangkan rang undang-undang berkaitan tetapi telah ditarik balik kerana perlu merujuk kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

“Sebelum ini perkara tersebut tidak perlu namun pandangan daripada Pengerusi Jawatankuasa Khas Bahagian Kewangan dan Ekonomi, Datuk Mohd. Shahar Abdullah menyatakan perkara tersebut diberi penekanan,” ujarnya.

Katanya, pelantikan Ahli Lembaga Pengarah LHDN merupakan kuasa penuh Menteri Kewangan, namun dengan adanya rang-rang tersebut, sedikit penurunan kuasa diberikan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

Jelas beliau, dengan perlantikan mereka berdua, banyak hasil yang disumbangkan oleh penduduk dan syarikat-syarikat dapat diketahui dengan lebih jelas dan lengkap bagi pengetahuan kerajaan negeri.

Menurut Ahmad lagi, dengan kehadiran mereka, tentunya akan memudahkan bagi Kerajaan Pusat menyalurkan hasil kepada kepada kedua-dua negeri tersebut bagi tujuan pembangunan dan sebagainya.

“Kita memang memberikan sebelum ini, tetapi dengan adanya mereka, pembahagian akan lebih menyeluruh dan mungkin bertambah berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi itu,” jelasnya.

Pada Febuari lalu, Sarawak merekodkan pendapatan tertinggi dalam sejarah untuk hasil pada tahun 2022 sebanyak RM11.9 bilion iaitu 17 peratus lebih tinggi daripada pendapatan yang diunjurkan RM10.2 bilion.

Sementara kerajaan negeri Sabah mencatatkan kutipan hasil negeri berjumlah RM5.449 bilion bagi tahun berakhir 31 Disember 2021. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI