fbpx

Latihan jangka pendek Pasak bantu tingkat kualiti kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Fitri (tengah) memberi penerangan kepada Muhammad Danial Syazwan (kanan) dan Muhamad Nasrullah di Freskool Seri Manjung semalam.

MANJUNG – Program-program latihan kemahiran jangka pendek yang ditawarkan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) perlu dimanfaatkan oleh golongan usahawan muda kerana ia mampu membantu mereka mendapatkan ilmu tambahan dalam bidang diceburi.

Menurut seorang graduan Pasak, Muhammad Fitri Fahrolrozi, 23, terdapat banyak ilmu yang boleh dimanfaatkan seorang usahawan ataupun pekerja yang menyertai kursus ditawarkan agensi kerajaan negeri Perak itu terutamanya melibatkan program latihan teknikal dan vokasional (TVET) .

Sebagai contoh, katanya, dia yang bekerja dalam bidang automotif sejak enam tahun lalu mendapat pelbagai input baharu mengenai kerjayanya setelah mengikuti salah satu program Pasak iaitu Kursus Business Fundamental Mastery.

“Biarpun saya bergelar Ketua Bahagian Automotif di sebuah syarikat penghawa dingin yang berpangkalan di Seri Manjung, Freskool, masih banyak boleh dipelajari lagi bagi menambah ilmu yang berkaitan dengan bidang serta tugas dipikul di tempat kerja.

“Menerusi program Pasak tersebut, saya banyak belajar tentang keusahawanan, bagaimana untuk menguruskan perniagaan, bahkan kemahiran untuk berkomunikasi dengan para pekerja juga dapat ditingkatkan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Pasak adalah antara peneraju program flagship pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 di bawah Koridor TVET Malaysia, dengan peranannya sebagai agensi pelaksana yang berperanan penting dalam menguruskan jawatan kosong di negeri ini.

Ia seterusnya membantu para pencari kerja khususnya anak negeri Perak bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang dapat memenuhi keperluan pelbagai sektor industri, sekali gus me­ningkatkan taraf sosio ekonomi di Negeri Perak.

Pada masa sama, Muhammad Fitri berkata, ilmu diperoleh itu diaplikasikannya di tempat kerja dan membantunya menguruskan pasukannya yang terdiri daripada dua orang kakitangan iaitu Muhammad Danial Syaz­wan Muhammad Nasarudin, 24, dan Muhamad Nasrullah Badrul Hisam, 23.

“Komunikasi dengan berkesan dalam kalangan pekerja dalam satu daripada ilmu yang sa­ngat penting dan Alhamdulillah, saya berjaya memperbaiki aspek berkenaan bersama pasukan.

“Ia membuatkan segala perancangan di tempat kerja menjadi lebih teratur sekali gus melicinkan operasi syarikat ini,” katanya yang turut memberitahu, dia te­lah terlibat dalam bidang automotif sejak enam tahun lalu.

Tambahnya, tenaga pengajar di bawah program ditawarkan Pasak juga merupakan mereka yang berpengalaman dalam bidang berkaitan, sekali gus membuatkan sesi pembelajaran menjadi lebih menarik dan mengujakan para peserta.

“Tenaga pengajar berpengalaman memainkan banyak peranan dalam memastikan para peserta mendapat ilmu berkaitan kursus diikuti. Bagi saya, golongan usahawan muda perlu mengambil kursus ditawarkan Pasak kerana ia mempunyai begitu banyak manfaat,” katanya.

Dia turut berharap Pasak meneruskan program-program ditawarkan kerana ramai golongan muda daripada pelbagai bidang yang mahu meningkatkan kemahiran dimiliki sekali gus memperbaiki ekonomi masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI