fbpx

Bicara kes Hafidz cederakan Nurul Shuhada Februari tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON Hafidz Roshdi yang diwakili peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu. - FOTO FIRDAUS JOHARI

KUALA KUBU BHARU –  MAHKAMAH Majistret di sini hari ini menetapkan 6 dan 7 Februari tahun depan sebagai tarikh perbicaraan kes pelakon Hafidz Roshdi atas dakwaan mencederakan bekas isterinya, Nurul Shuhada pada Mac lalu.

Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai majistret menetapkan tarikh perbicaraan selama dua hari itu ketika kes berkenaan disebut semula di hadapannya hari ini yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Asmaa’ Zamri dan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili Hafidz.

Menurut Akberdin, pihaknya sudah mengemukakan representasi terhadap pejabat Timbalan Pendakwa Raya iaitu bagi menggugurkan pertuduhan terhadap anak guamnya pada 28 September selepas menerima laporan perubatan aktor tersebut dari Hospital Shah Alam, Shah Alam.

“Pejabat Timbalan Pendakwa Raya akan maklumkan kepada mahkamah tentang jawapan rayuan kami.

“Pihak pembelaan ambil masa sedikit sebab pihak pendakwaan hantar anak guam saya ke Hospital Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak untuk buat analisa kesihatan mental.

“Jadi, kami pun ada lakukan pemeriksaan sendiri juga di Hospital Shah Alam dan ingin tahu tentang keputusannya. Itu antara faktor yang membuatkan kami menunggu sebelum membuat rayuan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah Akberdin, pihaknya akan membuat rayuan kedua sekiranya keputusan rayuan tersebut negatif.

“Kalau positif, kita teruskan dengan bicara tetapi sekiranya negatif, mungkin akan failkan rayuan kedua,” ujarnya.

Terdahulu, TPR Asmaa memaklumkan mahkamah bahawa pihak pembelaan telah memfailkan representasi kepada pendakwaan.

“Pihak pembelaan telah memasukkan representasi dan ia telah diserahkan kepada pendakwaan,” ujarnya.

Pada 18 Julai lalu, pihak pembelaan mewakili Hafidz akan mengemukakan representasi terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya bagi tuduhan mencederakan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, pada 13 Mac lalu.

Terdahulu Mahkamah Majistret di sini diberitahu, Hafidz disahkan waras dan pertuduhan yang didakwa ke atasnya layak dibicarakan pada 9 Mac lalu.

Pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu sebelumnya telah ke Hospital Bahagia pada 29 Mac bagi menjalani pemeriksaan psikiatri sebagaimana yang diperintahkan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Pada 13 Mac lalu, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk pipi kiri Nurul Shuhada sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI