fbpx

Azizah ketuai panel tarik diri dengar rayuan Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib dan Tommy

PUTRAJAYA – Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azizah Nawawi, yang sepatutnya mendengar rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes saman terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas memutuskan untuk menarik diri daripada mendengar kes saman itu.

Ini kerana semasa prosiding bermula hakim Azizah yang mengetuai panel tiga hakim bagi mendengar kes saman itu, mendedahkan suaminya, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman yang kini sudah bersara, pernah berkhidmat di bawah Tommy di Jabatan Peguam Negara.

“Saya bercadang menarik diri daripada mendengar kes ini kerana suami saya (berkhidmat) secara terus di bawah responden (Thomas).

“Asas kepada penarikan ini adalah kerana kes membabitkan kepentingan awam, jadi adalah lebih baik kita mempunyai standard yang tinggi,” katanya.

Terdahulu peguam Najib, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, kemudian memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan arahan lanjut daripada Najib itu susulan pendedahan berkenaan.

Sejurus selepas itu, peguam itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa arahan daripada anak guamnya ialah supaya hakim Azizah menarik diri daripada panel berkenaan.

Hakim itu kemudian memutuskan menarik diri daripada mendengar rayuan terbabit. Dua lagi panel hakim yang turut bersidang ialah Datuk See Mee Chun dan Datuk Lim Chong Fong,

Sementara itu, Tommy yang diwakili peguam Alan Gomez memberitahu mahkamah, pihaknya tiada bantahan bagi hakim Azizah terus mendengar rayuan itu dan mahu plaintif (Najib) menyatakan alasannya

Kita tidak boleh mengambil mudah perkara ini. Saya tidak nampak ada alasan akan berlaku bahaya berat sebelah,” katanya.

Pada 25 November tahun lalu, Tommy berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan saman yang difailkan Najib berhubung dakwaan bekas peguam negara itu menyalahguna kuasa untuk mengemukakan pendakwaan membabitkan skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache ketika membenarkan permohonan itu berkata, saman Najib selaku plaintif tidak boleh dipertahan dan tiada sebab tindakan yang munasabah.

Dalam saman yang difailkan pada 22 Oktober 2021, Najib mendakwa dituduh melakukan rasuah dalam skandal 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan kes pengubahan wang haram.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah dirancang lebih awal oleh Tommy dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Najib dengan itu memohon perisytiharan Tommy melakukan penyelewengan dalam jawatan awam dan menuntut ganti rugi RM1.9 juta, termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI