fbpx

Jerebu: Ibu bapa boleh tidak hantar anak ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Ibu bapa yang bimbang akan kesihatan anak masing-masing ekoran masalah jerebu dibenarkan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah, namun perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.

Itu merupakan antara 10 garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini kepada sekolah dan institusi pendidikan di bawah pentadbirannya dalam menghadapi jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

Menerusi garis panduan itu, KPM memaklumkan penutupan sekolah juga perlu segera dilakukan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.

Menurutnya, aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan semua murid pula harus dihentikan, manakala aktiviti keramaian atau sukan di luar bangunan disaran ditangguhkan apabila IPU melebihi 100.

“Jika IPU melebihi 500, semua guru dan kakitangan tidak perlu hadir ke sekolah.

“Guru harus diberi tugasan sewajarnya jika sekolah ditutup. Sekolah hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan semasa mengenai jerebu di media massa.

“Keputusan pembukaan semula sekolah bergantung kepada bacaan IPU kurang daripada 200 dan trend penurunan bacaan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu, murid-murid dinasihatkan memakai pelitup muka serta meminum air secara kerap. Sekolah juga hendaklah merujuk murid yang tidak sihat kepada ibu bapa atau penjaga dengan segera.

“Bagaimanapun, semua jenis peperiksaan termasuk peperiksaan awam akan diteruskan seperti biasa,” ujarnya.

Semua langkah itu dibuat sejajar dengan misi KPM untuk menyediakan persekitaran pendidikan yang selamat, kondusif dan berkualiti bagi semua komuniti pendidikan di Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI