fbpx

Kecewa tersingkir awal GV10, Suki Low ada cara pujuk hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUKI LOW terkilan namun pujuk hati untuk positif hadapi penyingkiran awal dalam GV10.

SHAH ALAM – Kecewa tersingkir awal dalam program All Stars Gegar Vaganza musim ke-10 (GV10), penyanyi Suki Low memujuk hari agar berfikiran positif apabila boleh kembali menjalani kehidupan hariannya seperti biasa.

Suki atau nama sebenarnya Low Sook Yee berkata, selain dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga, terutama anak, dia juga gembira apabila tidak perlu membatalkan tawaran membuat persembahan yang telah dipersetujui sebelum.

“Dari sudut positif, apabila tersingkir awal, saya akan kembali menjalani rutin normal semula bersama keluarga. Bila anak saya dapat tahu ibunya masuk GV10, dia faham bahawa saya tidak dapat habiskan banyak masa bersamanya.

“Selain dapat bersama keluarga, saya juga gembira untuk mengumumkan bahawa saya tidak perlu batalkan tawaran membuat persembahan yang telah dipersetujui,” katanya ketika ditemui selepas konsert minggu kedua GV10 malam tadi berkata,

Kata pelantun Berdiri itu, selepas terpilih untuk menyertai semula GV10, dia terpaksa mengambil jalan selamat, tidak memberi hitam putih terhadap tawaran yang diterima memandangkan tidak pasti boleh dipenuhi atau pun tidak.

“Banyak juga tawaran membuat persembahan yang saya terima, terpaksa saya ‘hold’ (tidak beri kata putus) dulu sebab tidak pasti sama ada boleh buat atau tidak.

“Selagi saya berada dalam pertandingan, saya tidak berani untuk ambil tawaran kerana mahu memberi fokus pada GV10. Jadi selepas tersingkir, saya tidak perlu membatalkan tawaran yang telah diterima,” katanya.

Bercakap tentang penyingkirannya malam tadi, Suki mengakui sedikit terkilan kerana tidak sempat untuk mempamerkan kejutan yang sudah dirancang untuk pertandingan tersebut selain belum cukup puas untuk beraksi di atas pentas mega itu.

“Rasa tak puas lagi (beraksi atas pentas GV10). Namun, apa-apa pun saya akur dengan keputusan juri dan sudah pun menjangkakan akan tersingkir selepas gagal mempamerkan persembahan yang baik.

“Lagi pun, pertandingan kali ini disertai juara-juara GV terdahulu yang hebat. Jadi juri meletakkan harapan tinggi terhadap semua peserta untuk mempamerkan persembahan mantap,” katanya.

Tambah Suki lagi, untuk pertandingan kali ini, para juri sangat teliti dan akan mengambil kira sekecil-kecil kesilapan yang dilakukan oleh para peserta.

“Jadi kalau persembahan saya pada malam ini (semalam) tidak baik di mata juri, maka memang tidak okaylah,” katanya.

Pada konsert minggu kedua GV10 malam tadi, Suki yang menyanyikan lagu Tak Ingin Usai, dendangan asal penyanyi seberang, Kiesya Levronka terpaksa akur apabila tersingkir bersama seorang lagi bintang, Cliff Umar.

Kedua-dua penyanyi itu terpaksa berpuas hati apabila berada di kedudukan dua terbawah selepas memperoleh markah sebanyak 53.25 peratus (Cliff Umar) dan 56.25 peratus (Suki). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI