fbpx

Jangan mudah jual aset, pegangan jika ada masalah – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) ketika Majlis Perasmian Karnival Minggu Saham Amanah Malaysia di Setia Fontaines, Kepala Batas, hari ini. Foto Iqbal Hamdan/Kosmo!

SEBERANG PERAI – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pengurusan syarikat terutamanya yang melibatkan kepentingan bumiputera, agar tidak mengambil jalan mudah dengan menjual aset atau pegangan masing-masing dalam syarikat jika berdepan masalah.

Menurut Perdana Menteri, dalam hal ini, mereka harus dipertanggungjawabkan untuk memahami bahawa ada ‘tugas asas’ yang perlu dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

“Tapi, apapun yang berlaku, saya minta pengurusan (syarikat) sekarang harus ingat bahawa mereka perlu lebih cekap (dalam mentadbir).

“Jangan apabila tubuh syarikat, salah urus, salah tadbir kemudian apabila ‘mati’, tubuh lagi syarikat baharu,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 anjuran syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang berlangsung di Setia Fontaines, Kepala Batas, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

Bertemakan ‘Bijak Melabur, Santai Berhibur’, karnival MSAM 2023 yang berlangsung selama sembilan hari bermula semalam hingga 8 Oktober ini turut disiarkan secara hibrid iaitu menerusi platform digital dengan menerapkan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sepanjang penganjurannya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut menjadikan PNB sebagai contoh syarikat yang baik dari segi pengurusannya.

“PNB merupakan satu badan amanah yang diasas untuk memperkukuhkan kekuatan ekonomi bumiputera dan rakyat Malaysia. Permulaannya agak sederhana, namun, sekarang telah menjadi sebuah syarikat yang besar,” kata beliau.

Dalam pada itu, Anwar berkata, PNB seharusnya memperluaskan kempen untuk menyimpan atau menabung ke lebih banyak sekolah pada masa depan.

Dalam hal ini katanya, guru-guru yang berkenaan boleh dilatih untuk membantu kempen berkenaan selepas perbincangan dibuat di peringkat Kementerian Pendidikan atau Kementerian Pengajian Tinggi.

Pada masa yang sama kata beliau, pegawai-pegawai PNB juga boleh memainkan peranan dengan ‘turun padang’ untuk mempergiatkan kempen tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI