fbpx

Pengerusi Amanah Negeri Sembilan dilantik Yang Dipertua DUN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMINUDDIN Harun memakaikan jubah kepada MK Ibrahim yang dilantik menjadi Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 yang berlangsung di Seremban hari ini.

SEREMBAN – Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd. Rahman hari ini dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15.

Usul pelantikan MK Ibrahim, 67, diketengahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat dan ia telah disokong oleh ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Setiausaha DUN Negeri Sembilan, Mohd. Amin Ludin sebelum itu memaklumkan pihaknya telah menerima dua pencalonan bagi jawatan Yang Dipertua DUN tersebut.

Namun menurut beliau, satu pencalonan telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah Peraturan 2, Perintah 7 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Untuk makluman semua ahli yang berhormat, saya telah menerima dua pencalonan untuk jawatan Yang Dipertua Dewan

“Bagaimanapun menurut Peraturan 2, Perintah 7 (1) iaitu tiap-tiap ahli yang hendak mencadangkan nama seseorang ahli untuk dipilih menjadi Yang Dipertua hendaklah memastikan terlebih dahulu yang ahli itu suka berkhidmat kiranya dipilih, dan hendaklah memberitahu Setiausaha Majlis sekurang-kurangnya tujuh hari akan cadangannya itu sebelum mesyuarat.

“Salah satu pencalonan telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah Peraturan 2, Perintah 7 (1) tersebut,” katanya.

Sementara itu, pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 itu, turut diadakan upacara Mengangkat Sumpah Jawatan dan Menandatangi Surat Sumpah Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri di hadapan Yang Dipertua DUN.

Ia diketuai oleh Aminuddin dan diikuti oleh Jalaluddin yang juga merupakan Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan serta barisan Exco dan ADUN-ADUN lain.

ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan dan ADUN Chennah, Anthony Loke Siew Fook bagaimanapun tidak hadir atas urusan rasmi tidak dapat dielakkan.

Sementara itu, Setiausaha Dewan memaklumkan, aturan pemilihan dan pelantikan Timbalan Yang Dipertua DUN yang turut dijadual berlangsung pada persidangan hari ini telah ditangguhkan.

“Saya telah menerima notis bahawa pihak kerajaan telah menarik balik pencalonan jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan, pada masa yang sama pihak pembangkang telah mengemukakan calon untuk jawatan Timbalan Yang Dipertua namun tidak dapat mengemukakan surat setuju terima jawatan dari calon sekiranya dipilih selaras dengan Peraturan 2, Perintah 7 (1) dan Perintah 8, Peraturan-Peraturan Perintah-Perintah Tetap DUN Negeri Sembilan.

Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan yang Ke-15 akan diadakan pada 9 hingga 13 Oktober nanti.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung pada Ogos lalu, gabungan kerjasama parti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi sebanyak 31 kerusi DUN di negeri daripada keseluruhan 36 buah kerusi yang dipertandingkan sekali gus membentuk majoriti dua pertiga dalam DUN Negeri Sembilan.

Perikatan Nasional (PN) pula memenangi baki lima lagi kerusi DUN. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI