fbpx

Mahkamah: Bekas pengerusi MCPF KL bebas tuduhan pecah amanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Kuala Lumpur (MCPF KL), Bok Siew Mun dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada pertuduhan pecah amanah wang RM195,00 milik pertubuhan itu, empat tahun lalu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Turut lepas dan dibebaskan ialah penceramah Pencegahan Jenayah, Saiful Hamiruzzaman Mohd. Hazir, 53, yang sebelum ini didakwa bersubahat dengan Siew Mun, 50,.

Peguam bela, Fahmi Abd. Moin ketika dihubungi memberitahu Hakim Datuk Sabariah Othman memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan elemen-elemen yang diperlukan dalam membuktikan kesalahan pecah amanah.

“Hakim ketika membaca keputusannya memberitahu bahawa pendakwaan hanya berjaya satu elemen sahaja iaitu fakta bahawa tertuduh pertama (Siew Mun) adalah pengerusi MCPF (ketika kejadian). Bagaimanapun, tiga elemen utama lain gagal dibuktikan iaitu tertuduh pertama mempunyai kawalan dan penguasaan terhadap wang RM195,000 tersebut. Pendakwa juga gagal buktikan bahawa tertuduh pertama mempunyai niat curang untuk melakukan pecah amanah jenayah semasa meluluskan pengeluaran wang tersebut kerana kesemua proses telah dibuat di dalam mesyuarat ahli jawatankuasa MCPF KL,” kata peguam itu.

Kata peguam itu lagi, mahkamah turut mendapati pendakwaan juga gagal membuktikan tertuduh kedua, Saiful Hamiruzzamanmempunyai niat bersama, membantu atau berkonspirasi dalam melakukan pecah amanah terhadap wang tersebut.

Ini kerana terdapat beberapa keterangan saksi pendakwaan yang bercanggah dan mempunyai versi berbeza sekaligus menjadikan kes pendakwaan lemah dan gagal dibuktikan.

Pada 23 Mac 2021, Siew Mun sebagai Pengerusi MCPF Kuala Lumpur didakwa telah melakukan pecah amanah dana yayasan itu dengan mengarahkan bayaran secara cek berjumlah RM195,000 kepada Trio Green Hornet Sdn. Bhd.

Saiful Hamiruzzaman pula dituduh bersubahat dengan Siew Mun melakukan kesalahan sama dengan mengemukakan invois milik sebuah syarikat dan menandatangani baucar bayaran yayasan berkenaan.

Kedua-dua mereka dituduh secara berasingan sebelum dibicarakan bersama.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank Berhad, cawangan Bandar Sri Permaisuri di sini antara 26 Februari dan 31 Mei 2019.

Justeru pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan manakala tuduhan bersubahat di bawah Seksyen 109 kanun yg sama yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI