fbpx

Dua lagi suspek gaduh di Desaru International Bike Week ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamarul Zaman.

JOHOR BAHRU – Polis telah merakam kenyataan penganjur program Desaru International Bike Week (DIBW) 2023 di Pantai Awam Desaru, Kota Tinggi ekoran insiden rusuhan antara kumpulan peserta tempatan dan antarabangsa.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kenyataan pihak tersebut diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, semalam.

Selain itu katanya, Polis Johor turut menahan dua lagi individu yang dipercayai terlibat dengan rusuhan yang dilaporkan berlaku malam Sabtu lalu.

“Kedua-dua individu tersebut merupakan lelaki warga tempatan yang berusia 50-an dan 20-an. Mereka ditahan di IPD Kota Tinggi selepas hadir menyerah diri, petang semalam.

“Sehubungan itu, polis telah menahan seramai empat lelaki tempatan dan kesemua mereka kini direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Perintah reman terhadap kesemua suspek itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Hayda Faridzal Abu Hasan,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini.

Semalam, Kamarul Zaman memaklumkan pihaknya telah menahan dua lelaki warganegara tempatan berusia 50 dan 30 tahun ekoran insiden rusuhan melibatkan kumpulan penunggang motosikal tempatan dan kumpulan penunggang motosikal dari Amerika Syarikat.

Tambah beliau, rusuhan itu dipercayai berlaku akibat provokasi dan cabar-mencabar antara kedua-dua pihak sehingga tercetus pergaduhan fizikal yang turut melibatkan kerusi kayu dan plastik dibaling sesama mereka.

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu hubungi Bilik Gerakan IPD Kota Tinggi di talian 07-8831222 atau Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintenden Ng Han Shoong di talian 016-5488810,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI