fbpx

APMM kaji cabaran semasa keselamatan maritim di ISS-25

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saiful ketika mengadakan pertemuan bersama Fagan pada International Seapower Symposium yang ke 25 (ISS-25) baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyertai International Seapower Symposium yang ke-25 (ISS-25) baru-baru ini bagi mengkaji cabaran semasa dalam bidang keselamatan maritim.

ISS-25 anjuran Pejabat Chief of Naval Operations, United States Navy telah berlangsung pada 19 hingga 22 September lalu di Naval War College, Rhode Island, Newport, Amerika Syarikat disertai ketua-ketua tentera laut daripada 82 negara dan ketua-ketua pengawal pantai daripada 17 negara.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim yang hadir mewakili Maritim Malaysia berkata, ISS-25 turut membuka ruang kepada negara-negara terlibat dalam mengukuhkan kesediaan kerjasama.

Katanya, ISS-25 kali ini memberi ruang kepada peserta yang mewakili negara-negara maritim untuk berbincang mengenai kaedah terbaik dengan mewujudkan peluang kerjasama serantau mahupun antarabangsa bagi mencari penyelesaian dalam mendepani cabaran yang dihadapi di peringkat global.

“Sempena penganjuran simposium itu, saya berpeluang mengadakan perbincangan secara bersemuka dengan Commandant United States Coastguard (USCG), Admiral Linda Fagan.

“Perbincangan tersebut merangkumi inisiatif kerjasama strategik di antara Maritim Malaysia dan USCG dalam bidang latihan dan pembangunan kapasiti selain mengupas isu-isu berkaitan keselamatan maritim,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, beliau turut bertemu Commander USCG Pacific Area, Rear Admiral Brendan McPherson dan Chief Republic of Singapore Navy, Rear Admiral Sean Wat bagi mengupas pelbagai perkara penting berkaitan keselamatan dan keamanan maritim serantau serta memperkukuh dan mengeratkan hubungan kerjasama strategik yang sedia terjalin.

Berdasarkan rekod, ISS ini telah dianjurkan buat pertama kali pada tahun 1969.

Penglibatan APMM pada ISS-25 juga melonjakkan imej positif agensi berkenaan di persada dunia, secara tidak langsung menjadi satu pengiktirafan kepada Malaysia yang mempunyai agensi pengawal pantai tersendiri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI