fbpx

Subsidi haji, kekal atau kaji semula?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TH telah menyediakan lebih RM400 juta untuk pembayaran Bantuan Kewangan Haji bersasar kepada golongan B40 dan M40 yang pertama kali menunaikan ibadah haji. – GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Penawaran subsidi atau Bantuan Kewangan Haji oleh Tabung Haji kepada golongan B40 dan M40 kini menjadi satu persoalan antara topik yang sering di­bincangkan adakah ia perlu dikaji semula.

Rata-rata daripada masyarakat berpendapat, pemberian kewangan di bawah Inisiatif Bantuan Kewangan Haji itu perlu dikaji semula ekoran pelaksanaannya telah memberi impak kewangan besar kepada Tabung Haji dan pada masa yang sama haji hanya diwajibkan ke atas orang yang mempunyai kemampuan dan berkeupayaan.

Untuk rekod, konsep istitoah boleh diterjemahkan sebagai kemampuan mengerjakan haji daripada pelbagai aspek termasuk kesihatan, kewangan, kuota haji dan juga perjalanan yang aman atau keselamatan.

Lantaran itu, pada musim haji lalu seramai 396 jemaah Muassasah B40 dan M40 telah membuat bayaran lebih daripada bayaran haji minima meskipun mereka mendapat Bantuan Kewangan Haji.

Daripada jumlah itu, seramai 67 jemaah daripada kategori itu juga menolak bantuan yang diberikan oleh Tabung Haji dan membuat bayaran penuh kos haji sebanyak RM30,850 berikutan berpegang kepada syarat istitoah.

Hajah Jamiah Ahmad, 68, seorang suri rumah yang telah menunaikan haji dengan bayaran penuh berkata, keputusannya untuk membayar RM30,850 dibuat selari dengan konsep istitoah selain mahu menunaikan ibadah itu menggunakan wang sendiri.

“Sebenarnya, saya telah menabung bersama Tabung Haji semenjak 1978 serta menetapkan niat untuk menggunakan wang sendiri tanpa mengharapkan sebarang bantuan termasuk daripada kerajaan.

“Walaupun saya hanya suri rumah, menggunakan wang yang dikumpul sendiri sepenuhnya adalah lebih bermakna dan menenangkan hati,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Jamiah berkata, keputusan membuat bayaran penuh juga dibuat selepas dia menerima tawaran daripada Tabung Haji untuk menunaikan haji pada 2020 lagi, namun niat tersebut tidak dapat dilaksanakan ekoran Covid-19.

“Jika tabungan kita sudah mencukupi dan pada masa yang sama menerima tawaran haji, tidak salah untuk membuat bayaran penuh selaras dengan konsep istitoah itu.

Jadi, mungkin bahagian subsidi atau bantuan kewangan yang ditetapkan sebelum ini dapat diagihkan kepada mereka yang betul-betul memerlukan,” jelasnya.

Pada tahun ini, Tabung Haji menyediakan lebih RM400 juta bagi meneruskan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar kepada golongan B40 dan M40 yang pertama kali menunaikan ibadah itu.

Kos menunaikan haji bagi seorang jemaah haji Muassasah te­lah meningkat kepada RM30,850 seorang berbanding hanya RM28,632 pada tahun 2022.

Bakal haji golongan B40 ha­nya perlu membayar sebanyak RM10,980 dan menerima Bantuan Kewangan Haji sejumlah RM19,870 seorang atau 64 peratus. Manakala golongan M40 pula membayar sebanyak RM15,980 dan menerima Bantuan Kewangan Haji sebanyak RM14,870 seorang atau 48 peratus daripada kos haji sebenar.

Sementara itu, senada dengan Jamiah ialah seorang tukang masak iaitu Masnah Komat, 57, yang turut membuat bayaran penuh bagi menunaikan haji bagi edisi 2023.

Katanya, keputusan membuat bayaran penuh itu diputuskan selepas rayuannya untuk menunaikan haji diluluskan Tabung Haji selain berpegang kepada konsep tidak kedekut dengan rezeki yang diberikan.

“Selepas rayuan menunaikan haji diluluskan dan perlu membuat bayaran penuh, saya terus bersetuju. Bagi saya, jika ada rezeki lebih, kita tidak perlu tunggu bantuan kerajaan.

“Sementara masih sihat, lebih baik saya terima tawaran berke­naan. Meskipun tidak menikmati bantuan kewangan itu, saya percaya, ia mungkin dapat diberi kepada golongan sasar,” ceritanya.

Selain itu, seorang pesara swasta, Khatijah Ali, 63, turut menolak Bantuan Kewangan Haji yang ditawarkan Tabung Haji bagi memberi peluang kepada bakal haji lain yang lebih memerlukan bantuan terbabit.

Jelasnya, tindakan itu juga disifatkan sebagai sumbangan atau sedekahnya supaya lebih ramai individu yang ingin menunaikan haji mendapat manfaat daripada bantuan berkenaan.

“Saya mula menabung di Tabung Haji pada 2 Februari 2007 dan daftar haji pada 7 Januari 2009. Memandangkan simpanan di Tabung Haji sudah mencukupi, jadi saya menolak bantuan diberikan untuk bantu yang lain,” katanya.

Terdahulu, Khatijah mengambil pendekatan membuat bayaran penuh kos haji sebanyak RM30,850, sekali gus menolak tawaran Bantuan Kewangan Haji disediakan Tabung Haji untuknya berjumlah RM19,870. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI