fbpx

FGV sumbang RM840,700 kepada 701 keluarga saudara baru di Nabawan, Kundasang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ruslan (sembilan dari kanan) dan tetamu kehormat yang lain bergambar bersama sebahagian penerima sumbangan majlis FGV Seikhlas Hati.

PETALING JAYA – Sebanyak 701 keluarga saudara baru dari 11 buah kampung di sekitar daerah Nabawan dan Kundasang, menerima sumbangan daripada FGV Holdings Berhad (FGV) bernilai RM840,700, semalam.

Sumbangan disampaikan dalam bentuk wang tunai, barangan makanan keluaran FGV seperti beras, gula dan minyak masak, kit kelengkapan ibadah serta peruntukan pembinaan sebuah masjid dan sebuah rumah asnaf.

Program FGV Seikhlas Hati itu merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan kerjasama Muslim Care (MCM) bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor berkata, melalui program ini, FGV berpeluang membantu saudara-saudara baru yang kesusahan di sekitar Nabawan dan Kundasang.

“Terima kasih kepada MCM dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) atas kerjasama yang sangat baik dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Ia mencerminkan komitmen FGV untuk membantu komuniti yang memerlukan di sekitar kawasan operasi perniagaan FGV,” katanya.

FGV merupakan antara pembayar zakat perniagaan terbesar bagi syarikat senaraian awam bumiputera (BLPC) selama beberapa tahun ini.

Ia melibatkan semua negeri di mana FGV beroperasi termasuk Sabah dan Sarawak dengan peruntukan RM35.3 juta bagi pengagihan zakat perniagaan Kumpulan FGV yang akan ditunaikan pada tahun ini.

Dalam majlis sama, Nazrul turut menyerahkan cek replika sumbangan zakat perniagaan FGV sebanyak RM6.3 juta bagi negeri Sabah kepada Datuk Bungsu @ Aziz yang menerimanya bagi pihak MUIS.

Sementara itu, Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, Nabawan dipilih sebagai lokasi program kerana daerah itu adalah pusat penempatan semula saudara baru yang memeluk Islam sejak awal tahun 1970-an.

“Kerjasama di Nabawan ini membabitkan skala lebih besar dari segi nilai yang diperuntukkan dan jumlah penerima manfaat.

“Terima kasih kepada yang terlibat termasuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membantu membawa barangan sebanyak 12 tan menggunakan pesawat pengangkut A400M secara percuma dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu,” ujarnya.

Majlis perasmian program tersebut disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ruslan Muharam.

Beliau dalam ucapannya berkata, sumbangan FGV dan MCM kepada orang-orang Sabah amat besar dan dihargai.

“Saya berharap bakti murni dan keprihatinan FGV dan MCM dicontohi oleh syarikat korporat serta NGO lain,” ucapnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI