fbpx

Padah ‘boduguard’ tayang senjata api, menyamar polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KAJANG – Seorang pengawal peribadi ditahan kerana menyamar anggota polis dan menunjukkan senjata api bagi membolehkan dia masuk ke kawasan perumahan teman wanitanya di Bandar Sungai Long, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki pada pukul 7.11 malam, semalam.

“Pengawal keselamatan itu memaklumkan dia didatangi seorang lelaki yang mahu memasuki kawasan perumahan berkenaan untuk bertemu teman wanitanya.

“Mangsa yang berusia 46 tahun itu meminta pengenalan diri daripada suspek untuk didaftarkan sebagai pelawat, namun suspek enggan memberi kerjasama.

“Suspek yang tidak puas hati kerana diminta lesen memandu dan pengenalan diri kemudian memperkenalkan diri sebagai polis serta menunjukkan sepucuk pistol yang terselit di pinggang.

“Mangsa yang berasa takut membenarkan lelaki itu masuk ke kawasan perumahan selepas diugut dan dimarahi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan polis, Mohd. Zaid memaklumkan polis cawangan D7 Ibu Pejabat Polis (IPD) Kajang menahan suspek berusia 26 tahun dan merampas sepucuk pistol bersama 10 butir peluru hidup.

“Semakan mendapati suspek bukan anggota polis sebaliknya bekerja sebagai pengawal peribadi di sebuah syarikat kawalan keselamatan.

“Suspek memiliki surat kebenaran membawa dan menggunakan senjata serta peluru bagi tujuan penugasan,” katanya.

Lelaki itu direman selama empat hari bermula hari ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) 170 KK, 8(a) Akta Senjata 1960 dan 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Suresh Krishnan di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI