fbpx

2 minggu nilai kerosakan sekolah terbakar di Bukit Mertajam – Fadhlina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina (dua dari kanan) ketika melakukan tinjauan mengejut ke SK Permatang To' Kandu, sebentar tadi.

SEBERANG PERAI – Tempoh dua minggu diperlukan Kementerian Pendidikan (KPM) menilai kerosakan akibat kebakaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang To’ Kandu, Bukit Mertajam di sini, sebelum bantuan sewajarnya diluluskan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, buat masa ini, ibu bapa juga tidak perlu risau tentang anak mereka yang bersekolah di situ memandangkan sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) tetap akan berjalan seperti biasa.

Katanya, pada masa yang sama, kementeriannya akan turut mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak sekolah untuk memuktamadkan beberapa perkara lain yang berkaitan.

“Tindakan penerusan pendidikan anak-anak yang saya fikir antara jaminan yang perlu kita berikan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka akan terus belajar dalam apa keadaan sekalipun.

“Cuma mekanisme itu kita akan pastikan semula sama ada secara PDPR (Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) atau kelas berganti dan sebagainya.

“Ia hanya akan ditentukan hasil bersama perbincangan dengan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) dan JPN (Jabatan Pendidikan Daerah),” katanya ketika melakukan tinjauan mengejut di sekolah tersebut, malam tadi.

Anggota bomba selesai melakukan operasi pemadaman kebakaran melibatkan kelas di SK Permatang To’ Kandu, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.02 petang itu, tiga daripada lima buah kelas yang terletak di tingkat tiga sekolah tersebut musnah seratus peratus sementara dua lagi kelas musnah hampir 40 peratus.

Difahamkan, daripada tiga kelas yang musnah itu, satu daripadanya merupakan sebuah makmal komputer.

Bagaimanapun, ketika kejadian, tiada guru atau murid yang terlibat.

Dalam pada itu, Fadhlina memberitahu, blok yang terlibat dengan kebakaran itu akan ditutup demi keselamatan warga sekolah.

Namun begitu katanya, bagi sesi P&P pula, akan diwujudkan satu ruang tambahan yang akan digunakan bagi membolehkan murid terus mendapat akses pendidikan.

Tambah Ahli Parlimen Nibong Tebal itu, bagi memastikan keselamatan keseluruhan warga sekolah berkenaan terjamin, Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga telah mengambil langkah keselamatan dengan memeriksa status pendawaian elektrik di sekolah itu ketika ini.

“Sehubungan itu, kita mohon kepada guru-guru termasuk guru besar sekolah serta para waris untuk bersabar. Bagi kita ruang untuk melaksanakan tugas-tugas (yang berkaitan) untuk memastikan keselamatan keseluruhan premis sekolah ini,” katanya.

Difahamkan juga, selain jumlah kerugian yang masih belum ditentukan, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan ketika ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI