fbpx

Kerajaan seru lebih banyak sektor swasta melabur dalam loji Sisa Kepada Tenaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kor Ming (tengah) selepas merasmikan Loji Tenaga Boleh Baharu Berkapasiti 12MW dan melawat BTEP di Hulu Selangor, hari ini. - Foto oleh M FIRDAUS M JOHARI / KOSMO!

HULU SELANGOR – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengalakkan lebih banyak sektor swasta untuk tingkatkan pelaburan Loji ‘Waste to Energy’ (WtE) atau ‘Sisa Kepada Tenaga’ pada masa akan datang.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ia selari dengan sasaran negara untuk mencapai tenaga boleh baharu (renewable energy) sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2035 berbanding sekarang iaitu tiga peratus.

Ujarnya, polisi kerajaan melalui KPKT perlukan perbincangan mendalam bersama kerajaan negeri, majlis tempatan dan rakan kongsi strategik dalam sektor swasta untuk sekurang-kurangnya mewujudkan satu WtE di setiap negeri di Malaysia.

“Harus kita puji inisiatif Syarikat Berjaya Enviro Parks Sdn. Bhd. (BEPSB) hari ini kerana sudah melabur dengan banyak untuk mewujudkan Loji Tenaga Boleh Baharu Berkapasiti 12MW (megawatt) terbesar di Malaysia.

“Di tapak pelupusan ini, Bukit Tagar Enviro Park (BTEP), berupaya menukarkan gas metana daripada sisa pepejal kepada tenaga boleh baharu dimana kira-kira 339 juta Kilowatt-jam (kWj) tenaga elektrik disalurkan ke grid nasional.

“339 juta kWj itu bersamaan tenaga elektrik yang disalurkan kepada 4,000 isi rumah di Taman Bestari Jaya, Selangor. Ini merupakan pencapaian dan usaha yang sangat perlu dipuji,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Loji Tenaga Boleh Baharu Berkapasiti 12MW dan melawat BTEP di sini, hari ini.

Tambah Kor Ming, pihak KPKT sedang menggiatkan usaha untuk menarik minat lebih banyak sektor swasta melabur dalam WtE secepat yang mungkin ekoran tiada implikasi kewangan kepada kerajaan.

Dalam pada itu, mengulas lanjut tentang BTEP, beliau berkata, penghasilan tenaga ini dapat mengurangkan 2.7 juta tan karbon di bawah skim Mekanisme Pembangunan Bersih.

Katanya, ini adalah bersamaan dengan 43.6 juta anak pokok yang ditanam dalam masa 10 tahun, pengurangan penggunaan 296 juta liter petrol dan pengurangan sebanyak 570,000 buah kereta yang dipandu dalam tempoh setahun.

“WtE adalah merupakan salah satu kaedah merawat sisa pepejal dan pada masa yang sama menjana tenaga boleh baharu.

“Loji WtE bole menggunakan teknologi seperti Insinerator, Biogas, Anaerobic Digestor (AD), Mechanical and Biological Treatment (MBT) dan sebagainya.

“Sehingga kini, BTEP telah berjaya mengurus dan melupuskan kira-kira 17 juta tan sisa pepejal dari kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.

BTEP telah beroperasi sejak April tahun 2005 dan merupakan tanah milik kerajaan yang berkeluasan 659 ekar tanah untuk tujuan pembinaan tapak pelupusan.

Tapak pelupusan ini telah direka bentuk untuk melupuskan sisa pepejal sebanyak 2,500 tan sisa pepejal sehari dan mempunyai jangka hayat melebihi 120 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI