fbpx

Mahkamah: Najib terima AS$30 juta daripada Blackstone

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.- Foto oleh Syakir Radin.

KUALA LUMPUR – Seorang penganalisis Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima AS$30 juta daripada syarikat samaran, Blackstone Asia Real Estate Partners.

Syarikat itu dikatakan dikawal oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low melalui rakan sekutunya Tan Kim Loong atau Eric Tan.

Adam Ariff Mohd. Roslan, 29, berkata, akaun peribadi bekas Perdana Menteri menerima wang berjumlah AS$5 juta pada 30 Oktober 2012 dan AS$25 juta lagi dipindahkan pada 19 November tahun yang sama.

Menurut saksi pendakwaan ke-47, maklumat berhubung pindahan wang secara berperingkat itu diperolehi hasil laporan jejak wang dalam akaun peribadi Najib.

Penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) itu turut berkata, wang melebihi RM60.6 juta dipindahkan ke dalam akaun peribadi AmIslamic Najib yang berasal daripada terbitan Bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) oleh Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

TIA merupakan nama asal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu sebuah syarikat pelaburan strategik milik penuh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan Diperbadankan (MKD).

Beliau berkata, sumber wang dalam akaun Najib yang diterima pada 23 Februari dan 13 Jun 2011 itu dari akaun Bank Riyadh juga berasal daripada pinjaman bersindiket RM2.5 bilion oleh 1MDB.

Semalam, saksi itu yang menganalisis jejak wang dalam akaun Najib memberitahu, akaun bank bekas Perdana Menteri menerima RM60.6 juta daripada Putera Faisal Turki Bandar Al-Saud, pada 23 Februari dan 13 Jun 2011.

Beliau berkata, nombor akaun bank Putera Faisal, adalah sama dengan nombor akaun Bank Riyad yang menerima dana daripada Good Star Ltd (iaitu syarikat milik Jho Low.

Katanya, akaun Bank Riyad itu memindahkan dana ke akaun Najib dalam tempoh satu hingga tiga hari selepas Good Star memindahkan dana ke akaunnya.

Adam Ariff memberikan keterangan terhadap Najib 70, yang berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya ketika itu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) bersambung esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI