fbpx

Tidak ada perjanjian punca penerbangan komersial dihentikan di LTAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam, Melaka.

MELAKA – Kerajaan negeri sedang merangka terma perjanjian yang lebih adil supaya syarikat penerbangan yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini tidak menamatkan perkhidmatan sewenang-wenangnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, ketiadaan perjanjian khusus sebelum ini menyebabkan syarikat penerbangan bebas membuat keputusan untuk meneruskan operasi atau tidak berdasarkan kepada permintaan pelanggan.

Jelas beliau, antara terma perjanjian yang dicadangkan adalah menetapkan tempoh tertentu kepada operator untuk beroperasi di LTAM.

“Sebenarnya syarikat penerbangan hanya berurusan dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan bukannya dengan kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri tidak pernah mempunyai perjanjian rasmi dengan mana-mana syarikat penerbangan sebelum ini, sebaliknya mereka beroperasi atas dasar jemputan dan pelawaan.

HAMEED bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada sidang akhbar Karnival Udara Antarabangsa Melaka 2023 (KUAM ’23) di LTAM, Batu Berendam, Melaka. Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/KOSMO!

“Jadi saya sedang berbincang untuk buat satu ketetapan bahawa mereka perlu beroperasi dalam waktu tertentu yang mana tempoh maksimum adalah tiga tahun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang akhbar Karnival Udara Antarabangsa Melaka 2023 (KUAM ’23) di sini, hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri juga berhasrat menjadikan LTAM destinasi untuk penerbangan sewa khas atau charter sebagai penyelesaian awal kepada pemberhentian penerbangan komersial ketika ini.

Katanya, dia bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman telah berbincang dengan agensi-agensi pelancongan yang boleh mengendalikan penerbangan sedemikian.

“Perkara ini masih di peringkat perbincangan untuk jadikan LTAM sebagai (destinasi) charter flight. Ini lebih mudah.

“Untuk penerbangan harian juga sedang dibincangkan (usahakan). Sebagai permulaan kita akan pelawa penerbangan sewa khas ini turun (mendarat) di Melaka dahulu sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI