fbpx

Noraini diiktiraf Adiguru, pewaris tunggal seni Atap Singgora

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noraini menunjukkan cara membuat Atap Singgora daripada tanah liat pada Festival Musing Ketang di Kampung Budaya Terengganu, Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – Seni bina tradisional, Atap Singgora iaitu pembuatan bata atap melalui tanah liat perlu terus dipertahan dan diwarisi bagi memastikan khazanah seni itu tidak lenyap ditelan zaman.

Setakat ini, Noraini Jusoh, 57, yang diiktiraf Adiguru oleh Kraftangan Malaysia merupakan satu-satunya individu yang terlibat dalam perbuatan Atap Singgora di Semenanjung Malaysia.

Kemahiran luar biasa Noraini itu turut menarik perhatian pe­ngunjung yang menghadiri Festival Musing Ketang di Kampung Budaya Terengganu (KBT) di sini semalam.

“Atap Singgora sangat unik kerana diperbuat daripada tanah liat dan pembuatannya masih 80 peratus secara manual sehingga kini.

“Saya teruja untuk memper­kenalkan cara pembuatan bata atap itu kepada masyarakat khususnya pengunjung festival ini agar warisan budaya seni bina masyarakat Melayu tradisional ini terus dihargai,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Budaya Terengganu di sini semalam.

Festival Musing Ketang yang akan berakhir hari ini merupakan salah satu acara anjuran Jabatan Pelancongan Terengganu sempena sambutan Hari Malaysia kelmarin.

Noraini berkata, Atap Singgora tahan lasak dan mampu bertahan sehingga ratusan tahun.

Jelas beliau, pada waktu ini, atap Singgora buatannya sering menjadi pilihan pengusaha resort dan chalet tempatan kerana keunikannya.

“Saya sangat terbuka untuk berkongsi ilmu agar seni pembuatan atap Singgora ini dapat terus diwarisi dan tidak pupus ditelan zaman.

“Ramai anak muda khususnya pelajar universiti telah mengunjungi bengkel di Kampung Pengkalan Baru, Bachok untuk mempelajari pembuatannya,” katanya.

Sementara itu, seorang pe­ngunjung, Nur Nadia Abdul Halim, 38, kagum dengan kreativiti orang Melayu zaman dahulu dalam mereka cipta Atap Singgora.

“Kalau ada rezeki, saya berhasrat membina rumah baharu menggunakan Atap Singgora.

“Ia bukan sahaja unik, cantik malah kualitinya tidak perlu dipertikai serta mencerminkan jati diri Melayu,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI