fbpx

Banjir Libya: Penduduk gambarkan bagai ‘ditelan’ tsunami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai melihat kemusnahan yang diakibatkan oleh banjir besar di Derna, kelmarin. - AFP

DERNA, LIBYA – Pasukan penyelamat Libya bertungkus-lumus mencari mayat-mayat mangsa yang dihanyutkan arus deras selepas banjir besar yang disifatkan seperti ‘lautan tsunami’ menenggelamkan beberapa bandar di timur negara itu, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC).

Setakat semalam, lebih 5,300 orang dikhuatiri terbunuh dalam bencana itu selepas Ribut Daniel melanda Libya bermula Ahad lalu dengan bandar Derna adalah yang paling teruk terjejas.

Dua empangan serta empat jambatan runtuh sekali gus menenggelamkan sebahagian besar kawasan kejiranan. 

Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah, kira-kira 10,000 orang dilaporkan hilang, manakala angka kematian dijangka terus meningkat.

Rakaman video banjir menunjukkan air bah memenuhi bandar Derna dengan kenderaan-kenderaan dihanyutkan arus deras. Ada antara penduduk dihanyutkan ke laut, manakala sebilangan yang lain berpaut di atas bumbung.

“Saya terkejut dengan apa yang saya lihat. Ia bagaikan tsunami. Sebuah kawasan kejiranan yang besar telah musnah,” kata seorang mangsa yang terselamat, Hisham Chkiouat.

Hisham memberitahu BBC bahawa runtuhan salah sebuah empangan di selatan Derna telah menghanyutkan sebahagian besar bandar itu ke dalam laut.

Sementara itu, seorang pegawai bantuan di bandar Bayda, Kasim Al-Qatani memberitahu program Newsnight BBC bahawa adalah sukar untuk penyelamat sampai ke Derna kerana kebanyakan laluan utama ke bandar itu tidak berfungsi selepas mengalami kerosakan besar.

“Siasatan telah dilancarkan berhubung punca banjir besar yang membawa kepada kemusnahan sedemikian,” katanya sambil menambah, sebanyak 2.5 bilion dinar Libya (RM2.4 bilion) akan disalurkan untuk membantu membina semula Derna dan bandar Benghazi.

Dalam pada itu, pakar kejuruteraan air memberitahu BBC bahawa kemungkinan besar sebuah empangan yang terletak sekitar 12 kilometer dari Derna gagal berfungsi terlebih dahulu, yang menyebabkan air mengalir ke lembah sungai ke arah empangan kedua. Fasiliti kedua pula terletak lebih hampir dengan bandar tersebut sehingga banyak kawasan kejiranan ditenggelami air. 

“Pada mulanya kami hanya menyangka hujan lebat tetapi sekitar tengah malam, kami mendengar bunyi seperti letupan besar. Ia rupa-rupanya bunyi empangan pecah,” kata seorang mangsa, Raja Sassi.

Politik Libya berada dalam keadaan huru-hara sejak bekas pemimpinnya, Muammar Gaddafi digulingkan dan dibunuh pada 2011, menyebabkan negara yang kaya dengan minyak itu berpecah dua.

Sebuah kerajaan sementara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa beroperasi dari ibu negara, Tripoli, manakala satu lagi pihak berkuasa memerintah di timur negara itu.

Seorang wartawan, Abdulkader Assad berkata, kekeliruan mengenai perkara itu telah menghalang usaha menyelamat.

“Anda mempunyai orang yang menjanjikan bantuan tetapi bantuan itu tidak datang,” ujarnya.

Namun, di sebalik perpecahan itu, pihak berkuasa di Tripoli telah menghantar pesawat dengan 14 tan bekalan perubatan, beg mayat dan lebih 80 doktor serta paramedik ke kawasan yang terjejas. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI