GAMBAR HIASAN

Pork free, keliru atau buat-buat keliru?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kisah video yang tular mengenai sebuah premis makanan nasi ayam claypot di Seri Petaling, Kuala Lumpur yang menggunakan arak beras atau rice wine dalam hidangannya menarik perhatian ramai pengguna Muslim baru-baru ini.

Difahamkan, premis berkenaan turut dikunjungi ramai pelanggan yang beragama Islam untuk menikmati hidangan yang dijual kerana keenakan rasanya tanpa menyedari penyediaannya didakwa menggunakan bahan yang meragukan sehingga tersebar video mengenainya dalam media sosial.

Maka, pelbagai luahan, dukacita dan pandangan dilontarkan netizen melalui media sosial mengenai isu tersebut.

Ada yang tidak berpuas hati, ada yang marah dan ada juga yang mahu tindakan tegas dikenakan terhadap peniaga terbabit.

Persoalannya, adakah premis di Seri Petaling itu merupakan satu-satunya premis makanan khususnya yang diusahakan oleh individu bukan Islam yang tidak memahami maksud penyediaan makanan yang halal kepada pelanggan Muslim?

Rasanya masih banyak premis makanan milik bukan Muslim lebih-lebih lagi yang tidak mempunyai pengiktirafan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tetapi masih dikunjungi ramai pelanggan beragama Islam di negara ini dek kerana terpesona dengan keenakan hidangan yang disajikan.

Bagi sesetengah pengusaha makanan yang pemiliknya bukan Islam, mungkin mereka kurang faham tentang maksud penyediaan makanan halal.

Sehingga kini, masih ramai yang menyangka orang Islam hanya tidak boleh memakan babi.

Jadi tidak hairanlah banyak restoran yang menguar-uarkan slogan pork free untuk menarik pelanggan Muslim.

Bagi mereka, ayam, itik atau lembu tidak sembelih tidak menjadi satu permasalahan asalkan bukan babi.

Jujurnya, ketika ini ramai sebenarnya dalam kalangan kita yang beragama Islam berkunjung ke restoran-restoran yang secara nyata masakannya disediakan oleh orang bukan Islam dan bahan masakannya tidak dapat dipastikan atau diragui mengenai tahap halalnya walaupun tidak mempunyai babi.

Malah, kini bagaikan telah menjadi satu trend dalam segelintir masyarakat Islam di negara ini untuk menikmati keenakan makanan atau hidangan di premis atau restoran yang tidak mempunyai sijil halal, manakala hidangannya pula secara jelas disediakan oleh bukan Muslim.

Untuk mengelak perkara ini, masyarakat Islam seharusnya lebih berhati-hati dan cakna dalam pemilihan makanan. Berkunjunglah hanya ke premis yang mendapat pengiktirafan halal daripada Jakim.

Jika terdapat keraguan atau wujud perkara yang syubahah, maka tinggalkan saja kerana makanan yang halal dan bersih itu sebenarnya terlalu banyak sehingga tidak terkira.

Jadi mengapa masih lagi mahu berkunjung ke premis atau restoran yang diragui tahap halalnya?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN