fbpx

Mesin bekam automatik minimum kesan pada kulit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. RIDUWAN berjaya membangunkan mesin bekam automatik hasil bantuan beberapa pensyarah, staf dan pelajar UMPSA.

BEKAM merupakan satu bentuk perubatan alternatif yang masih diamalkan terutama dalam kalangan masyarakat Islam.

Bagaimanapun, terapi itu dilihat masih mempunyai beberapa kelemahan termasuk prosedur manual yang tidak praktikal untuk beberapa bahagian badan.

Bagi mengatasi masalah itu, pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Ts. Dr. Mohd. Riduwan Ghazali, 39, tampil dengan inovasi mesin bekam automatik.

Menurutnya, mesin tersebut mempunyai tiga output sedutan yang boleh beroperasi serentak dan menghasilkan mekanisme yang cekap bagi meminimumkan kesan buruk pada kulit semasa terapi bekam.

“Alat ini menggabungkan dua kategori bekam iaitu bekam kering dan bekam basah.

“Sedutan akan dikenakan kepada kulit bagi meningkatkan aliran darah dan memudahkan proses penyembuhan. Malah, cawan-cawan bekam ini akan menggunakan mekanisme api atau pam,” katanya ketika dihubungi Infiniti baru-baru ini.

Penyelidikan itu turut mendapat kerjasama daripada pensyarah FTKEE, Mohd. Falfazli Mat Jusof, Ts. Dr. Wan Ismail Ibrahim; Pegawai Latihan Vokasional Pusat Reka Bentuk dan Inovasi Teknologi, Ir.

Ts. Nik Mohd Zaitul Akmal Mustapha serta Ts. Wan Hassan Wan Hamat.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda FTKEE, Yoong Tai Hui serta beberapa pelajar lain turut menyumbang idea dan tenaga.

Mengulas lanjut, sistem sedutan bekam automatik direka untuk mengautomatikkan proses bekam iaitu menggantikan manipulasi manual yang sering dijalankan.

MESIN bekam automatik mampu menggantikan manipulasi manual yang sering digunakan oleh pengamal perubatan.

Mohd. Riduwan berkata, antara langkah-langkah sistem sedutan bekam adalah reka bentuk sistem, pembangunan prototaip, ujian, pembaikan dan ujian akhir.

“Langkah pertama adalah reka bentuk sistem iaitu pemilihan bahan sesuai, pemilihan kaedah sedutan berkesan dan penyatuan penderia-penderia untuk mengawal kuasa serta tempoh sedutan.

“Kedua, pembangunan prototaip iaitu penyusunan komponen-komponen mekanikal, elektronik dan perisian yang diperlukan,” tambahnya.

Tambahnya, langkah ketiga pula adalah ujian apabila prototaip diuji pada pelbagai model kulit sukarelawan manusia.

Ujarnya, ia bertujuan memastikan bahawa sistem itu mampu menghasilkan kuasa sedutan yang tepat, selesa dan selamat kepada pengguna.

“Keempat, pembaikan berdasarkan hasil ujian. Sistem diperbaiki melalui interaksi reka bentuk dan pembangunan prototaip yang melibatkan penyesuaian komponen, algoritma kawalan serta ciri keselamatan.

“Langkah terakhir adalah ujian akhir setelah prototaip diubah suai dan dioptimumkan,” ujarnya.

Menurut Mohd. Riduwan lagi, dalam mereka bentuk sistem, pengawal digunakan untuk mencipta konfigurasi automatik yang membolehkan pengguna melaksanakan terapi bekam dengan menetapkan masa diperlukan.

“Pengesan tekanan perbezaan digunakan untuk mengukur tekanan dihasilkan oleh pam sedutan bagi memastikan kestabilan sepanjang proses bekam.

“Proses ini menggunakan pengawal logik kabur (FLC) yang diaplikasikan dalam kod program.

“Sistem ini memasukkan butang-butang yang disambungkan ke pin analog pada pengawal untuk mengawal tetapan masa pelaksanaan,” katanya.

Maklumnya, pam akan diaktifkan oleh FLC berdasarkan nilai sedutan yang diukur oleh pengesan tekanan perbezaan dengan rujukan -40 kPa (kuasa sedutan sederhana) setelah masa ditetapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI