KEADAAN kesihatan bapa yang terjejas menyebabkan pergerakannya turut terbatas hingga dia tidak dapat meneruskan minat berkebun di rumah.
Hal ini membuatkan anaknya, Muhammad Akma Rijal Azlan, tampil dengan idea sendiri untuk menghasilkan satu sistem pertanian akuaponik khusus buat golongan yang mempunyai batasan untuk bergerak.
Menurut pelajar jurusan Sains Komputer dan Multimedia, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, idea tersebut yang dinamakan sebagai Aquaponic Care System for Demobilise People with Augmented Reality direalisasikan sempena projek tahun akhir pengajiannya.
“Dari kecil, ayah suka berkebun dan dia sering bercucuk tanam di sekitar rumah, namun setelah meningkat usia, kerana kesihatan yang tidak baik dan pergerakan terbatas, dia tidak lagi dapat meneruskan minatnya itu.
“Oleh kerana, saya sedang mencari idea untuk projek tahun akhir, keadaan itu memberi ilham untuk mencipta satu sistem bersama aplikasi bagi memberi peluang kepada golongan seperti ayah meneruskan minat dalam pertanian,” katanya ketika ditemui K2 di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM, Serdang, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya, projek sistem akuaponik tersebut dimulakan pada 27 Mac tahun lalu dengan melakukan penyelidikan serta berkolaborasi dengan pakar dari Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak, Melaka bagi mendapatkan input untuk memahami golongan dengan pergerakan terbatas.
Kongsinya lagi, Aquaponic Care System for Demobilise People with Augmented Reality ini terbahagi kepada dua perkara iaitu perkakasan pertanian dan aplikasi untuk membantu pengguna memantau tanaman mereka.
Menerusi perkakasan, sistem ini dibekalkan satu set akuaponik yang dilengkapi sensor dan direka khusus bagi memudahkan pengguna terutama yang menggunakan tongkat mahupun kerusi roda.

Sensor yang terdapat pada set akuaponik ini bertujuan memantau dan membekalkan info tanaman yang mana ia dihubungkan dengan aplikasi khas iaitu Aquability AR Hub.
“Set akuaponik ini direka dalam bentuk segi empat sama dengan panjang 26 sentimeter (sm) panjang dan 10sm lebar serta tinggi 50sm.
“Ia boleh diletakkan di dalam atau luar rumah dan pada masa sama menanam beberapa jenis pokok dengan kaedah akuaponik,” ujarnya.
Jelasnya, selepas set akuaponik dipasang, ia akan dihubungkan dengan aplikasi Aquability AR Hub yang mana pengguna akan mendapat notifikasi dan peringatan untuk menjaga tumbuhan mereka.
Kata anak ketiga daripada tujuh beradik itu lagi, aplikasi ini bukan sahaja memberi mereka maklumat tentang tanaman, tetapi juga memantau tanaman tersebut dengan menyediakan maklumat berkenaan kualiti tanah, kelembapan dan lain-lain keperluan tanaman.
Pada masa sama, ia juga dilengkapi dengan cadangan rutin dan latihan pemulihan yang mana merekodkan sejauh mana peningkatan pergerakan pengguna.
Sebagai contoh, jika pengguna terbatas pergerakan tangan, rutin latihan yang diberi kepada pengguna adalah sejauh mana dirinya dapat mencapai tanaman dan pergerakan ini akan dikesan menerusi sensor pada set akuaponik.
Muhammad Akma memberitahu, sistem akuaponik ini merupakan satu inovasi yang boleh membantu ramai golongan dengan pergerakan terbatas untuk kekal positif dan memberi harapan baharu kepada mereka.














