fbpx

Kembara Kenali Borneo subur semangat perpaduan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abang Johari ketika mengiringi Al-Sultan Abdullah ke Santapan Malam Kembara Kenali Borneo anjuran Kerajaan Sarawak di sebuah hotel terkemuka di Kuching, malam tadi.

KUCHING – Kembara Kenali Borneo oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat, khususnya di Sarawak dan Sabah.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keberadaan baginda berdua selama 11 hari di Borneo menunjukkan bahawa Raja Berperlembagaan mempunyai peranan unik sebagai payung perpaduan, kemakmuran dan kestabilan negara.

“Oleh itu, Sarawak amat menghormati institusi Yang Di-Pertuan Agong walaupun negeri ini tidak mengamalkan sistem kesultanan seperti negeri-negeri di Semenanjung,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Penutupan dan Santapan Malam Kembara Kenali Borneo anjuran Kerajaan Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.

Abang Johari menambah, keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agung menjayakan kembara itu juga menzahirkan contoh bahawa perpaduan rakyat seharusnya tidak dihadkan oleh perbezaan agama, budaya atau bangsa.

“Ini terbukti apabila Baginda berdua tidak merasa segan untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti budaya yang dianjurkan oleh rakyat untuk menyerikan sambutan ketibaan Tuanku berdua di tempat masing-masing,” katanya.

“Rakyat Sarawak merasa gembira kerana mereka tahu mereka mempunyai pasangan diraja yang begitu senang sekali
mendampingi rakyat. Jelas kelihatan sambutan rakyat jelata di sepanjang laluan kembara sungguh luar biasa,” katanya.

Kembara Kenali Borneo yang diilhamkan oleh Yang diPertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong telah melalui
Malaysia Timur iaitu Sabah, termasuk negara jiran Brunei Darussalam hingga ke Sarawak pada 3 hingga 13 September
ini, dengan keseluruhan jarak di Sarawak adalah sejauh 1,198 kilometer (km).

Memulakan perjalanan dari Tawau, Sabah, kembara itu akan berakhir di Telok Melano, Sarawak pada hari ini.

Sementara itu, Abang Johari memaklumkan selain daripada pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak juga sedang membina lebuh raya pesisiran pantai sepanjang 896 kilometer km dengan kos RM 5.42 bilion.

Katanya lebuh raya itu melibatkan pembinaan 10 buah jambatan merentasi sungai-sungai yang besar, seperti jambatan Batang Lupar sepanjang 4.8 km yang merupakan jambatan terpanjang merentasi sungai di negara ini apabila siap kelak.

Di samping itu beliau berkata, Kerajaan Sarawak juga sedang membina Lebuh Raya Kedua (Second Trunk Road) dari Samarahan menuju ke arah Utara Sarawak melalui kawasan Sebuyau dan Lingga dengan kos sebanyak RM5.58 bilion.

Katanya jajaran itu nanti akan memendekkan masa perjalanan dari Kuching ke Sibu daripada lima ke enam jam sekarang kepada dua jam setengah.

“Kesemua kos pembinaan Lebuh Raya Pesisir Pantai dan Lebuh Raya Kedua itu berjumlah RM11 bilion dibiayai oleh Kerajaan Sarawak sendiri.

“Program penyediaan infrastruktur besar-besaran ini yang dijangka siap pada 2026 bertujuan menaik taraf sistem perhubungan jalan raya di negeri ini sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih hebat dengan matlamat untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Pada masa sama, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak sekarang juga sedang melaksanakan program untuk membekalkan elektrik melalui inisiatif projek Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) dan air melalui projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) dengan kos keseluruhan berjumlah RM5 bilion yang dijangka siap pada 2025.

Selain itu, katanya kemudahan internet akan dipertingkatkan melalui jalur lebar 4G. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI