GEORGE TOWN – Seorang wanita lebih rela makan hati apabila diperlakukan seperti ‘karung tinju’ oleh suami demi mempertahankan rumah tangga yang dibina sejak 15 tahun lalu bersama suami panas baran.
Lina, 39, berkata, suaminya yang dikenali penyayang mula berubah selepas sebulan mereka bernikah hingga sanggup mendera fizikal dan emosinya hanya kerana perkara kecil.
Katanya, dia dipaksa berhenti sebagai pekerja kilang selepas melahirkan anak sulung hingga tiada duit belanja.
“Sebelum kahwin nampak manis dan suci. Bila sebulan nikah, dia mula tunjung belang apabila sesuka hati memukul dan menampar saya depan anak disebabkan perkara kecil.
“Ada satu ketika saya dimaki hamun dan ditampar selepas tidak memulangkan baki RM20 ketika saya membeli barangan memasak di kedai.
“Sehingga anak sudah berusia 14 tahun, dia masih panas baran. Dia sering mendera emosi dengan meninggalkan kami seharian tanpa wang belanja dan tidak membenarkan kami keluar, balik kampung atau bergaul dengan jiran,” katanya.
Menurut Lina, dia bimbang diceraikan jika membuat laporan polis dan suaminya culas bayar nafkah kalau bercerai. Sehubungan itu, dia memilih untuk berdiam diri.
Ibu kepada tiga anak dikenali sebagai Aina, 38, pula memberitahu, kehidupannya diibaratkan seperti ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’.
“Saya pernah dijerkah, diherdik dan dipukul hanya salah hendak bancuh teh tetapi terbuat air kopi. Saya mahu berpisah tetapi mengenangkan anak-anak saya lupakan hasrat itu,” katanya














