fbpx

Cemburu, berebut kekasih punca dua remaja bertumbuk di Melor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan dua remaja lelaki bertumbuk di kawasan tanah lapang di Kampung Bukit Kecik, Melor, minggu lalu.

KOTA BHARU – Berebut kekasih dipercayai menjadi punca dua remaja lelaki bertumbuk di Kampung Bukit Kecik, Melor di sini, minggu lalu sehingga video pergaduhan tersebut tular di media sosial.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, remaja berusia 14 dan 15 tahun bersama lima saksi kejadian juga sudah dipanggil untuk memberi keterangan semalam.

Siasatan awal mendapati, dua pelajar di sebuah sekolah menengah di Ketereh itu bergaduh disebabkan berebut kekasih.

“Kita percaya pergaduhan itu disebabkan cinta dalam kalangan pelajar sekolah sehingga menyebabkan mereka cemburu.

“Sebelum insiden itu, mereka sudah berjanji akan bertemu di satu tempat untuk berentap bagi menunjukkan kekuatan masing-masing. Rakan-rakan yang tahu akan pertemuan itu turut hadir untuk menonton mereka bertumbuk,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, pihaknya sentiasa memantau kegiatan tidak bermoral dan elemen yang tidak baik dalam kalangan masyarakat terutama remaja yang masih bersekolah.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, dua remaja lelaki bertumbuk di Kampung Bukit Kecik, Melor minggu lalu sehingga video pergaduhan mereka tular di media sosial akan dipanggil polis untuk siasatan lanjut.

Polis menerima laporan pada pukul 11.18 pagi kelmarin berhubung video yang memaparkan dua remaja lelaki bertumbuk dengan disaksikan sekumpulan remaja lelaki lain. Kejadian berlaku pada pukul 3 petang, 7 September lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI