fbpx

Mahkamah: Air kencing Yasin Sulaiman positif kanabis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yasin Sulaiman

PETALING JAYA – Seorang pegawai kimia memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa ujian saringan yang dijalankan ke atas sampel air kencing milik penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman mengandungi kanabis.

Rusli Ibrahim, 56, berkata, air kencing itu didapati positif ‘cannabinoid’, manakala hasil ujian akhir mendapati sampel tersebut mengandungi ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ iaitu dadah yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menurut Pegawai Sains (Kimia Hayat) di Makmal Dadah, Jabatan Patologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang itu, beliau menyediakan laporan atas nama tertuduh dan mengesahkannya pada 8 April 2022.

Saksi kemudian menyerahkan laporan itu kepada Penolong Pegawai Penyiasat Narkotik Daerah Petaling Jaya, Sarjan Mohd. Fikri Omar pada 11 April 2022.

Saksi pendakwaan kelima (SP5) itu menyatakan demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Muhammad Yasin, 48, yang menghadapi tiga pertuduhan berkaitan dadah.

Ketika membacakan pernyataan saksi, Rusli berkata, beliau menerima borang permohonan ujian pengesanan air kencing dan satu botol sampel air kencing kepunyaan tertuduh pada 30 Mac 2022.

“Maklumat pada borang permintaan dan nombor siri botol masih dalam keadaan baik, isipadu air kencing mencukupi untuk dianalisis, botol tidak bocor serta berada dalam keadaan sempurna,” kata saksi.

Ujarnya, botol sampel air kencing itu kemudian disimpan dalam peti sejuk pada suhu khas dua hingga 8 darjah Celcius yang mana hanya beliau dan Juruteknologi Makmal Perubatan, Abdul Majid Khan Suliaman mempunyai kawalan.

Menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin, Rusli berkata, sampel air kencing itu tidak tercemar kerana disimpan pada suhu yang sepatutnya dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) makmal penyimpanan sampel.

Sementara itu, peguam Ariff Azami Hussein tidak menyoal balas saksi tersebut. Perbicaraan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin bersambung petang ini.

Muhammad Yasin didakwa dalam milikannya kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang, 24 Mac 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan.

Muhammad Yasin juga didakwa menanam 17 pokok kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Muhammad Yasin didakwa memberikan dirinya ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI