fbpx
SALMAN dan keluarganya tersesat apabila melalui jalan sama sebanyak tiga kali ketika menggunakan jalan lama Pantai Barat di Perak. – Ilustrasi Shah Hasan

Disakat penunggu kepala simpang hingga sesat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kali musim perayaan, kita pasti mendengar kisah kesesakan jalan raya yang amat teruk semasa para perantau pulang ke kampung atau kembali ke bandar.

Walaupun pihak berkuasa dan konsesi lebuh raya menyediakan pelan atau jadual untuk orang ramai bergerak ke destinasi mengikut waktu sesuai, namun jika berlaku kemalangan, kesesakan tidak dapat dielak sama sekali.

Kisah Mitos kali ini melibatkan pengalaman pelik dan seram seorang pengguna jalan raya bersama keluarga ketika menggunakan jalan dalam untuk pulang ke rumahnya di Banting, Selangor.

Menurut Salman Ahmad, 52, dia dan keluarga bertolak dari Taiping, Perak kira-kira pukul 8 malam selepas beraya selama empat hari bersama ibu bapa dan adik-beradik.

“Masa itu (kira-kira 10 tahun lalu) lebuh raya yang ada hanyalah Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS). Sekarang sudah ada Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

“Walaupun lebuh raya bertambah, namun kesesakan tetap berlaku pada hari ini.

“Bayangkan situasi dulu sebelum ada lebuh raya, memang ‘bercinta’ di atas jalan raya setiap kali pergi dan balik dari kampung,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Salman berkata, kisah yang ingin diceritakan ini bukan bertujuan menakutkan sesiapa, tetapi untuk berkongsi pengalaman hidupnya sebagai panduan dan pedoman orang lain.

Katanya lagi, setelah bersalam-salaman dengan ibu bapanya, dia dan isteri serta empat anak berusia antara setahun hingga 12 tahun bergerak pulang ke Banting menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Emak saya ada berpesan supaya balik sebelah siang, namun saya balas kata-katanya.

“Bagi saya, sebelah malam kenderaan sudah tidak banyak menghala ke Lembah Klang.

“Semasa memandu, kata-kata emak terngiang-ngiang di telinga saya kerana tidak mendengar nasihatnya itu,” katanya.

Jelasnya lagi, dia berbual kosong dengan isterinya semasa pemanduan sehingga kenderaannya masuk ke Lebuhraya Utara-Selatan.

Selang beberapa ketika, isteri dan anak-anaknya sudah tertidur mungkin disebabkan kesejukan pendingin hawa bersuhu 16 darjah Celsius.

“Sampai sahaja di Ipoh, kenderaan yang lancar dari Terowong Menora mula bergerak perlahan seperti ‘siput’. Betul kata emak, malam ini ramai orang balik ke Kuala Lumpur.

“Dalam hati terfikir, emak sudah macam nujum Pak Belalang boleh meramalkan trafik malam ini,” katanya.

Dalam keadaan runsing dengan suasana sesak tersebut, dia berkata, isterinya terjaga dan menyarankan mereka supaya menggunakan jalan dalam di Simpang Pulai.

Tanpa berfikir panjang, dia keluar dari lebuh raya melalui Tol Ipoh Selatan menuju ke Simpang Pulai.

“Alhamdulillah, jalan tidak berapa sibuk. Walaupun kereta banyak tetapi trafik lancar. Pada saat itu, saya berharap ia terus lancar hingga ke selatan.

“Sekali lagi kesesakan berulang selepas Kampar. Jalan cuma tidak sesak kira-kira 40 kilometer (km),” katanya.

Salman yang bekerja sendiri berkata, isterinya mencadangkan pula mereka menggunakan jalan lama Pantai Barat setelah trafik seakan tidak bergerak sedangkan jam sudah hampir pukul 12 tengah malam.

Ceritanya lagi, selepas mengenal pasti jalan itu tidak banyak kenderaan masuk, dia terus memecut laju ke arah kawasan berhutan yang terdapat beberapa rumah bercahaya suram.

“Isteri saya yang tidur kembali terjaga dan lebih banyak berdiam diri sejak melalui jalan yang agak sunyi di sepanjang laluan menghala ke Teluk Intan itu,” ujarnya.

Sedang asyik menekan pedal minyak, isteri Salman berkata, jalan tersebut seperti tidak ada rumah orang dan hanya ada ladang kelapa sawit di sekelilingnya.

Apabila isterinya berkata demikian, Salman baru perasan ada sesuatu yang tidak kena dengan laluan tersebut.

“Saya baru perasan, sudah tiga kali melalui sebuah rumah lama berwarna kuning. Ia terletak di sebelah kanan tidak jauh dari ladang kelapa sawit yang saya lalui,” katanya.

Selepas tersedar melalui jalan yang sama berkali-kali Salman dan isteri mula membaca surah-surah yang terlintas dalam fikiran masing-masing.

Ketika itu, anak-anak mereka sedang tidur di kerusi belakang. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 1 pagi, sebelum mereka berhenti di sebuah restoran mamak tidak jauh dari bandar Teluk Intan.

Salman berkata, ada beberapa lelaki tempatan sedang minum di kedai berkenaan.

“Salah seorang lelaki berusia 60-an memandang saya dengan pelik sambil bertanya dari mana dan hendak ke mana.

“Dalam kelesuan, saya menceritakan pengalaman ‘tersesat’. Lelaki tersebut dengan muka terkejut memaklumkan, sudah ramai yang ‘diusik’ oleh penunggu kepala simpang di jalan dilalui Salman tadi.

“Malah, ada yang hampir kehabisan minyak kerana lalu jalan sama berkali-kali,” katanya.

Tambahnya, dia amat terkejut mendengar cerita daripada lelaki tempatan tersebut.

Ujar Salman, dia sepatutnya mendengar nasihat ibunya supaya pulang sebelah siang .

Katanya, pengalaman diganggu ketika melalui jalan ‘tikus’ itu menyebabkan dia lebih berhati-hati ketika merancang perjalanan.

“Paling penting, saya menasihatkan para pengguna jalan raya supaya jangan masuk jalan yang sunyi dan tidak dilalui oleh kenderaan lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN