fbpx

Jet lag tidak jejas fokus Russel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUSSEL memberikan komitmennya dengan mengambil cuti tanpa gaji dan mengubah beberapa perkara untuk membolehkan dia berada di Malaysia sekarang. - INSTAGRAM RUSSEL TAIB

BINTANG pecut olahraga negara, Russel Alexander Nasir Taib sedia membuktikan kualitinya dengan merebut tempat dalam kuartet 4×100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Provinsi Terbuka Jawa Barat (Jabar) di Indonesia minggu ini.

Russel, 25, tidak merasakan masalah jet lag akan mempengaruhi fokusnya selepas baru sahaja tiba di Kuala Lumpur dari Loughborough, England kelmarin menjelang Sukan Asia Hangzhou di China bermula 23 September ini.

Sebaliknya, pemegang rekod 200m kebangsaan dengan catatan 20.77 saat (s) itu bersemangat tinggi untuk menunjukkan komitmennya bersama kuartet 4x100m yang akan berlepas ke Indonesia esok.

“Langsung tiada kebimbangan kerana saya merasakan fizikal dan mental sekarang berada dalam keadaan terbaik. Saya sudah tak sabar untuk mengambil bahagian di Hangzhou nanti.

“Saya telah memberikan komitmen saya dengan mengambil cuti tanpa gaji dan mengubah beberapa perkara untuk membolehkan saya berada di Malaysia sekarang.

“Jadi saya pulang awal untuk membantu persediaan kuartet dan pada masa sama saya boleh fokus kepada acara individu 200m,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pelari terpantas negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi dan Khairul Hafiz Jantan antara dua nama tetap yang akan menganggotai kuartet 4x100m dalam misi memburu rekod kebangsaan baharu di Hangzhou nanti.

Baki dua lagi slot bakal direbut Russel dan tiga lagi pelari iaitu bekas pemenang pingat emas Sukan SEA Manila 2019, Muhammad Haiqal Hanafi, Jonathan Nyepa serta Muhammad Arsyad Md. Saat.

Justeru, Terbuka Jabar di Indonesia boleh dilihat sebagai platform terbaik buat jurulatih pecut kebangsaan, Mohd. Poad Kassim memilih barisan terbaik untuk mewakili kuartet 4x100m lelaki dan wanita.

Selain kuartet 4x100m wanita diwakili Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal, Nur Aishah Rofina Aling dan Azreen Nabila Alias, jaguh lompat kijang, Andre Anura Anuar turut mengambil bahagian di Indonesia minggu ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI