fbpx

Sukan ekuestrian tanpa kuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALAH seorang peserta melakukan lompatan bagi melepasi halangan sambil ‘menunggang’ patung kuda.

LAZIMNYA, ekuestrian merupakan sukan yang melibatkan penunggangan, pemanduan, lompatan dan pengendalian kuda sama ada secara kompetitif atau untuk rekreasi.

Penunggang kuda boleh mengambil bahagian dalam pelbagai disiplin seperti dressage, jumping, acara, polo dan lain-lain.

Mereka juga terlibat secara tidak langsung dalam aspek penjagaan kuda, dandanan, latihan, proses pembiakan, terapi kuda, pendidikan dan penyelidikan.

Namun di Finland, terdapat satu pertandingan ekuestrian yang tidak menggunakan kuda.

Sebaliknya, pertandingan tersebut menggunakan patung menyerupai bentuk kuda.

Patung tersebut terdiri daripada bahagian kepala kuda yang diperbuat daripada fabrik dan disumbat pada sebatang kayu.

Sukan berkuda yang dipanggil ‘hobby horsing’ itu memberi peluang kepada peminat kuda mempamerkan kemahiran, kreativiti dan kebolehan persembahan mereka.

Sama seperti sukan ekuestrian biasa, pertandingan ‘hobby horsing’ memerlukan peserta melakukan rutin dan pergerakan sambil menunggang patung kuda seakan-akan kuda kepang.

Antara jenis persembahan termasuk dressage, melompat melepasi halangan dan persembahan gaya bebas.

Hakim menilai peserta berdasarkan teknik, pelaksanaan, gaya, kreativiti, dan prestasi keseluruhan mereka.

SUKAN ‘hobby horsing’ memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan menyertai sukan ekuestrian.

Pemenang bagi setiap kategori akan dianugerahkan dengan hadiah serta diiktiraf atas pencapaian mereka.

Biarpun sesetengah penunggang kuda sebenarnya tidak memandang serius tentang sukan berkenaan, namun ia sebenarnya satu alternatif buat golongan kurang berkemampuan.

Menurut Setiausaha Agung Persekutuan Ekuestrian Finland, Fred Sudwall, sukan ‘hobby horsing ‘memiliki nilai inklusif kepada semua lapisan masyarakat.

“Pada saya, tahap populariti sukan ini sangat mengagumkan sehingga ia menjadi fenomena dan popular di luar Finland.

“Ini kerana sukan ini memberi peluang kepada kanak-kanak dan remaja yang tidak memiliki kuda menyertai ekuestrian,” katanya.

Sebagai rekod, ‘hobby horsing’ telah mendapat sambutan di luar Finland susulan terbitnya dokumentari bertajuk ‘Hobbyhorse Revolution’ oleh pengarah yang dicalonkan Oscar Finland, Selma Vilhunen pada 2017.

Antara negara tersebut ialah Sweden, Jerman dan United Kingdom.

Baru-baru ini, video Kejohanan Finland Hobby Horsing 2023 menjadi viral apabila memaparkan lebih 1,500 peserta dari Finland dan negara luar menyertai sukan tersebut.

Kini, ia dipanggil sukan berkuda vegan atau ‘vegan horse riding’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI