fbpx

LPT1 pula berlaku mendapan selepas Lebuh Raya KLK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEJADIAN rekahan jalan dipercayai akibat mendapan tanah di LPT 1 di Temerloh.

TEMERLOH – Selepas mendapan tanah yang membentuk lubang besar berlaku di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) bulan lalu, pengguna lebuh raya kendalian Anih Berhad itu dikejutkan sekali lagi dengan kejadian mendapan tanah di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) di sini.

Kejadian mendapan jalan di Kilometer 118.2 sehingga kilometer 117.8 di laluan menghala ke barat itu menyaksikan rekahan pada jalan tar dan menyebabkan penghadang jalan senget.

Malah, kejadian sepanjang kira-kira 400 meter itu menyaksikan banyak berlakunya lubang rekahan di kawasan tanah bersebelahan laluan.

Seorang pengguna Riduan Abdul Rahman, 37, berkata, dia yang kebetulan lalu di situ dari Temerloh terkejut dengan kejadian dan bimbang rekahan akan bertambah teruk.

“Memang saya takut lalu di situ kerana bimbang ia boleh menjadi lubang yang besar sepertimana kejadian di KLK baru-baru ini yang dikatakan berlaku di atas terowong Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dalam pembinaan.

“Saya harap ia akan dapat dibaiki segera dan kejadian tidak berlaku lagi yang boleh membahayakan pengguna jalan raya serta menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan LPT1, susulan kejadian pihaknya menutup lorong kiri dan kecemasan di kawasan terbabit.

Katanya, trafik berjalan lancar di sepanjang laluan kedua-dua arah lebuh raya berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI