fbpx

JPJ sita 1,516 motosikal ubah suai ekstrem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokman menunjukkan motosikal Yang disita oleh JPJ kerana ubah suai Yang ekstrem pada motosikal.di Operasi Khas Motosikal 2023 di Jalan Sultan Idris Shah, malam tadi.FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Sebanyak 1,516 motosikal disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara dalam tempoh seminggu pelaksanaan Operasi Khas Motosikal 2023 bermula 1 September lalu sehingga kelmarin.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, tindakan berkenaan diambil setelah pemeriksaan mendapati ada dalam kalangan penunggang motosikal melakukan pengubahsuaian secara ekstrem terhadap kenderaan masing-masing.

Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah membuang brek belakang motosikal bagi tujuan meringankan berat kenderaan bagi membolehkan ia bergerak lebih laju selain mengubah suai kapasiti seseran (cc) enjin.

“Sebanyak 1,516 motosikal yang disita ini tidak layak berada di atas jalan kerana telah diubahsuai secara ekstrem. Antara yang diubah adalah kapasiti enjin supaya kelajuan bertambah.

“Contohnya motosikal berkuasa rendah iaitu 250cc ke bawah yang mempunyai had kelajuan tertentu, biasanya antara 130 hingga 135 kilometer sejam (km/j) tetapi apabila diubah suai boleh menjangkau sehingga 200 km/j.

“Dengan motosikal yang rendah kapasiti cc, memang tidak sesuai kelajuan yang ditingkatkan. Ini akan meningkatkan lagi risiko kemalangan dan kemalangan maut,”katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan operasi berkenaan di Jalan Sultan Idris Shah, di sini semalam.

Mengulas lanjut Lokman berkata, sebanyak 33,092 notis kesalahan dikeluarkan JPJ kepada penunggang motosikal dalam tempoh sama hasil pemeriksaan ke atas 64,980 buah motosikal di seluruh negara.

Katanya, daripada 33,092 notis dikeluarkan, kesalahan tiada perlindungan insurans merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 11,445 kes diikuti tiada lesen memandu dengan 9,456 kes.

“Kesalahan lain yang direkodkan ialah membabitkan ubah suai motosikal sebanyak 1,315 kes, tidak mematuhi lampu isyarat merah (474) dan tidak memakai topi keledar (306),”ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI