KULIM – Warga asing yang membuka kedai runcit rupanya-rupanya menjalankan perniagaan itu sebagai pekerjaan sambilan selepas habis bekerja di tapak pembinaan.
Mereka membuka kedai runcit, barang basah dan kedai makan untuk dijadikan punca pendapatan sampingan di hujung minggu pada waktu malam.
Seorang peniaga dikenali sebagai Aminah, 40, mendakwa, kebiasaannya kumpulan warga asing itu akan membuka kedai pada waktu petang dan malam selepas pulang bekerja, malah ada yang berniaga di pasar malam di sini.
“Pekerja asing itu pada mulanya bekerja di kawasan pembinaan, bila sudah lama berada di sini, ada antara mereka mula menjalankan perniagaan di kawasan ini,” katanya.
Dakwanya, terdapat tiga kedai runcit yang diusahakan warga Bangladesh di kawasan Kelang Lama dengan pelanggan mereka terdiri daripada warga asing yang tinggal berhampiran.
“Ada di antara mereka yang minta guna lesen (perniagaan) saya dan sanggup bayar RM4,000, namun saya menolaknya. Malah, ada yang minta untuk berkahwin dengan pekerja saya hanya untuk dapatkan lesen perniagaannya,” dakwanya lagi.
Beliau berkata, ada juga kedai runcit diusahakan warga asing terbabit menggunakan pekerja Melayu bagi mengaburi mata pihak berkuasa serta menggunakan lesen perniagaan milik rakyat negara ini.
“Kebiasaannya mereka akan buka perniagaan pada waktu petang hingga malam dan akan berkumpul ramai-ramai untuk berehat serta berbual.
“Ada pekerja berkelakuan tidak senonoh apabila mandi di rumah sewa mereka secara terbuka sehingga mengundang rasa kurang selesa dalam kalangan penduduk tempatan terutama golongan wanita dan kanak-kanak,” ujarnya.
Menurut Aminah, pekerja asing terbabit juga kurang peka dengan kebersihan kerana kedai mereka sangat kotor.
Ujarnya, dia tidak kisah sekiranya warga asing itu datang bekerja di sektor buruh untuk pembangunan, namun mereka tidak sepatutnya mengambil kesempatan dengan merampas peluang perniagaan dan ekonomi rakyat negara ini.
“Saya berharap pihak berkuasa memandang serius masalah ini kerana ia menggugat ekonomi rakyat negara ini,” katanya.
Tambahnya, dia bercadang untuk menutup perniagaan runcitnya dan menjalankan perniagaan yang lain kerana kurang pelanggan.
Kosmo! semalam melaporkan kemunculan peniaga warga asing di beberapa lokasi tumpuan semakin berleluasa hingga menimbulkan pelbagai persoalan dan keresahan apabila mereka kini semakin menguasai perniagaan di kaki lima.
Antara yang dijual termasuk pakaian, runcit, barangan hiasan, buah-buahan, sayuran-sayuran dan barang basah seperti daging.
















