fbpx

Ladang solar terapung Sarawak siap tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abang Johari menerima cenderahati daripada Abdul Hamed sambil disaksikan tetamu kehormat lain sempena perasmian SAREF 3.0 di BCCK, hari ini.

KUCHING – Ladang solar terapung pertama Sarawak, yang sedang dibangunkan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) di Loji Hidroelektrik Batang Ai dijangka siap pada tahun depan dan akan menjadi gabungan tenaga utama antara hidro dan solar.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata setelah siap, ia dijangka menyelaraskan sekitar 52,000 tan pelepasan karbon setiap tahun, sekali gus menyumbang kepada penyahkarbonan dalam grid Sarawak.

“Berdasarkan kapasiti penjanaan dan rangkaian kami sehingga tahun 2031, kami mempunyai potensi untuk memasang kapasiti solar sebanyak 1,500 megawatt (MW),” katanya berucap bagi merasmikan Forum Kemampanan dan Tenaga Boleh Diperbaharui 3.0 (SAREF 3.0) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Hadir sama Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi dan Pengerusi SEB Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi.

Justeru, Abang Johari menegaskan pembinaan empangan hidro elektrik tidak akan menjejaskan kawasan yang luas di Sarawak, dengan kurang daripada satu peratus daripada keseluruhan kawasan tanah yang akan terjejas oleh pembentukan tasik empangan hidro elektrik.

“Sekiranya Sarawak membangunkan sembilan lagi tapak yang masih tinggal, dijangkakan hanya dua peratus daripada keseluruhan kawasan tanah akan terjejas oleh tasik yang terbentuk. Ini kerana Sarawak adalah wilayah yang sangat besar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa tenaga hidro menawarkan pilihan tenaga boleh diperbaharui yang mampan dan dapat memberi manfaat lebih daripada sekadar penjanaan elektrik.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata melalui tenaga hidro, ia telah membolehkan negeri ini mengurangkan intensiti pelepasan karbon daripada sistem tenaga sebanyak 73 peratus antara tahun 2010 dan 2021, sekali gus menyumbang kepada komitmen sifar karbon dan kelestarian alam sekitar. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI