fbpx
Mohammad Noor dan Siti Nurhasanah yakin Mohammad Syafarizan (gambar kecil) masih hidup ketika ditemui di George Town semalam.

‘Sudah dua tahun kami beraya tanpa Syafarizan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Keluarga kepada Ketua Operasi kapal kargo, MV Dai Cat 06, Mohammad Syafarizan Mohd. Noor, 25, yang hilang sejak 1 Januari tahun lalu tetap menanti kepulangan anak sulung mereka untuk meraikan Syawal.

Kehilangan Mohammad Syafarizan tanpa khabar berita telah setahun berlalu.

Mohammad Syafarizan antara lima rakyat tempatan bersama dua kru kapal warga asing yang dilaporkan hilang semasa dalam pelayaran membawa muatan 527 besi paip bernilai RM726,000.

Kapal kargo itu dilaporkan berlepas dari Jeti Kampung Aceh, Perak pada 23 Disember 2022 dan sepatutnya tiba di lokasi di Kuching, Sarawak pada 31 Di­sember (tahun sama) sebelum hilang.

Bapa Mohammad Syafarizan, Mohd. Noor Mat Isa, 53, berkata, nalurinya dan isteri, Siti Nurhasanah, 46, masih kuat mengatakan yang anak kesaya­ngan mereka itu masih hidup.

Menurutnya, dia mengesyaki kemungkinan anaknya bersama kru kapal berkenaan menjadi mangsa tawanan lanun dan berada di lokasi tertentu.

“Sampai hari ini, sudah setahun tiga bulan belum ada sebarang perkembangan diterima tentang anak kami.

“Buat masa ini, pihak Jabatan Laut dan Persatuan Pelaut-Pelaut Malaysia ada hubungi keluarga. Cuma kes ini sudah di­serahkan kepada pihak Indonesia memandangkan kejadian dikatakan berlaku di perairan di sana.

“Mereka siasat yang kapal itu dikatakan tidak tenggelam, kematian pun tidak timbul, depa (kru kapal) disyaki jadi mangsa tawanan. Siapa yang tawan, kita tidak tahu,” katanya kepada ­Kosmo! di sini, semalam.

Mohd. Noor berkata, kejadian yang menimpa anaknya itu membuatkan mereka terutama iste­rinya sering bersedih.

“Sudah dua kali raya kami tidak dapat sambut bersamanya. Memang amat sedih. Isteri yang nampak terlalu ketara ketika ini dan selalu menangis setiap kali teringat anak sulungnya itu.

“Kami terima apa yang berlaku tetapi tetap mahu dia pulang ke rumah dalam keadaan apa sekalipun,” ujarnya dalam nada sedih.

Pada 21 April tahun lalu, ­Kosmo! melaporkan yang keluarga kru kapal MV Dai Cat 06 masih mengharapkan kepulangan anak kesayangan mereka untuk bersama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sebelum itu, akhbar sama turut melaporkan yang status keberadaan kapal MV Dai CAT 06 masih misteri dan tidak terjawab setelah genap 100 hari laporan kehilangannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN