fbpx

Pengasuh mengaku tak bersalah dera kanak-kanak lelaki 1 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARAHIN mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang pengasuh kanak-kanak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan melakukan penderaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun di sebuah taska di Bandar Bestari Perdana, Pasir Gudang, bulan lalu.

Tertuduh, Farahin Abdul Kadir membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang berusia 28 tahun itu didakwa telah menyebabkan kanak-kanak lelaki di bawah jagaannya mengalami kecederaan fizikal pada pukul 3.49 petang, 25 Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad memohon mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM15,000 kepada tertuduh beserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi.

Peguam mewakili tertuduh, Mohamad Isa Mohamad Basir bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan minimum kerana tertuduh tidak mempunyai pendapatan pada masa ini.

“Semasa bekerja di taska berkenaan, tertuduh menerima pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan. Namun kini dia tidak lagi bekerja dan tiada sebarang punca pendapatan sebaliknya hanya bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja sebagai pemandu lori.

“Pada masa sama, tertuduh turut menanggung kedua ibu bapa yang tinggal bersama mereka,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi sehingga kes selesai.

Che Wan Zaidi turut menetapkan tarikh 4 Oktober untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI