fbpx

Dua kenderaan rosak langgar dapur gas di LPT1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DAPUR gas (kiri) yang dilanggar kereta (kanan) di Kilometer 116.7 LPT1 malam tadi.

TEMERLOH – Gara-gara dapur gas yang berada di tengah jalan menyebabkan dua kenderaan terlibat dalam kemalangan selepas melanggar objek berkenaan di Kilometer 116.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) di sini malam tadi.

Kejadian menyaksikan sebuah kereta jenis Toyota Vios mengalami kerosakan pecah bahagian bumper, bonet, lampu depan, cermin dan beg udara manakala sebuah lagi kereta jenis Honda Civic pecah bahagian bumper dan lampu hadapan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kejadian kira-kira pukul 11 malam itu berlaku ketika kedua-dua buah kenderaan dipandu lelaki berusia 30 dan 38 tahun itu dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke arah Kuantan.

“Apabila sampai di lokasi kejadian terdapat satu objek dipercayai dapur gas berada di lorong kanan jalan dan pemandu kereta jenis Toyota Vios cuba mengelak tetapi terlanggar objek tersebut.

“Kemudian pemandu kereta jenis Honda Civic pula terlanggar pula objek tersebut dan membawa objek tersebut ke lorong kecemasan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mazlan, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan pihak polis telah mengambil keterangan daripada pemandu kereta terbabit.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak peronda lebuh raya dan pihak konsesi LPT1, Anih Berhad telah melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati semasa memandu terutama waktu malam dan memandu ikut peraturan had laju yang telah ditetapkan.

“Pihak polis juga menasihatkan orang ramai agar memastikan barang-barang yang dibawa tidak terjatuh ke jalan raya kerana kecuaian kita boleh membahayakan nyawa dan kerugian harta benda kepada pengunaan jalan raya lain,” ujarnya – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI