fbpx

36 PATI naik bas dari Kota Bharu ke TBS dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian PATI yang ditahan di TBS sebaik tiba dari Kota Bharu pada 30 Ogos lalu. FOTO IHSAN JIM

PUTRAJAYA- Seramai 36 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu ekoran dilaporkan memasuki Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan.

Penahanan 36 orang PATI terdiri daripada 32 lelaki dan empat perempuan itu dijalankan menerusi operasi khas rentetan daripada kejayaan operasi terdahulu yang dilaksanakan di lokasi sama pada Disember 2022 dan Januari lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, hasil daripada makluman awam dan risikan jabatan, pasukan operasi berjaya menahan 36 PATI yang menaiki bas dari Stesen Bas Ekpress Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

“Pasukan operasi berjaya mengesan tiga buah bas ekspres yang berasingan membawa PATI di Lebuh Raya Pantai Timur dan mengekori ketiga-tiga buah bas itu sehingga ke TBS.

“Pemeriksaan dijalankan sebaik kesemua penumpang turun daripada bas.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi berjaya mengesan dan menahan 20 lelaki warganegara Bangladesh selain 12 lelaki dan empat perempuan warganegara Myanmar berumur antara 19 tahun hingga 45 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, hasil semakan lanjut ke atas pasport PATI, pihaknya mendapati tiada cap keselamatan sah di dalam pasport mereka serta terdapat PATI yang tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

“Semakan juga dibuat melalui sistem imigresen dan mendapati terdapat PATI yang memiliki rekod senarai hitam berdasarkan rekod kesalahan lampau,” ujarnya.

Menurutnya, modus operandi sindiket adalah dengan membawa masuk PATI ke Malaysia melalui negara jiran dan kemudianya diseludup masuk melalui laluan haram.

“PATI berkenaan akan dibawa ke Pulau Pinang dan Kuala Lumpur untuk bekerja secara tidak sah dengan menggunakan pengangkutan awam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Bayaran dikenakan bagi setiap PATI untuk masuk ke negara ini oleh pihak sindiket sebanyak RM10,000,” jelasnya.

Kesemua PATI ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI