KLANG – Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PAT) khususnya dari Indonesia kini semakin berani apabila secara terang-terangan mempromosikan kegiatan jenayah mereka melalui aplikasi TikTok.
Tidak hanya memberikan perkhidmatan menyeludup masuk dan keluar PATI, sindiket tersebut turut menawarkan beberapa pakej tambahan termasuk penginapan di rumah teres selain kemudahan makanan.
Berdasarkan beberapa video yang dimuat naik di TikTok, sindiket ini sedia memberikan perkhidmatan termasuk penggunaan bot dengan kelajuan sehingga 750 kuasa kuda merentasi perairan negara dengan mudah.
Ini termasuklah bagi perjalanan dari Banting dan Telok Panglima Garang di Kuala Langat dan Kuala Selangor ke Dumai dan Tanjung Balai Asahan di Indonesia.
Selain itu, sindiket berkenaan juga turut menjanjikan rumah tumpangan sebagai transit yang rata-ratanya adalah rumah teres lengkap termasuk kemudahan makanan ketika dibawa keluar dan masuk ke negara ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati, bayaran bagi satu perjalanan masuk dan keluar dari negara ini adalah berjumlah RM1,600 dengan jangka masa penjalanan selama dua jam.
Bagi menambahkan keyakinan kepada warga asing lain, sindiket tersebut turut berkongsi video ‘pelanggan’ di TikTok yang menunjukkan mereka telah sampai ke destinasi selamat.
“Sampai dengan selamat balik lagi jalur belakang Malaysia-Dumai. Boleh dm (direct message) atau WhatsApp,” kata seorang PATI.
Bagaimanapun, beberapa warga asing mengakui ia adalah pengalaman cemas apabila mengikuti pakej berkenaan memandangkan sindiket tidak menyediakan sebarang jaket keselamatan selain terpaksa berhimpit di dalam bot.
“Sumpah pengalaman saya paling ekstrem naik itu (bot sindiket PATI) balik dari Malaysia dengan jantung seperti berhenti,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd. Sharenliza Ghazali berkata, pihaknya menyedari mengenai kegiatan sindiket tersebut dan telah meningkatkan penguatkuasaan, kawalan dan kehadiran pihaknya di sekitar perairan Selangor.
“Mereka ini sengaja mencabar kewibawaan pihak berkuasa termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan mempromosikan perkhidmatan di media sosial.
“Kegiatan seperti ini pastinya tidak akan berlaku sekiranya tiada permintaan daripada pihak tertentu. Sindiket sebenarnya lebih memikirkan keuntungan tanpa memikirkan keselamatan nyawa,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, berdasarkan risikan pihaknya, bayaran sekepala yang dikenakan oleh sindiket adalah antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi satu perjalanan.
Mohd. Sharenliza menegaskan, jarak yang dekat antara perairan Indonesia dan Selangor menyebabkan sindiket lebih kerap menjadikan negeri ini sebagai lokasi pendaratan utama PATI.
“Maksimum kalau bot laju tidak sampai tiga jam dengan ‘drop area’ khususnya di Selatan Selangor seperti sekitar Morib, Tanjung Sepat dan Klang. Mereka kerap menggunakan lokasi yang mempunyai paya bakau bagi memudahkan penyusupan masuk atau keluar,” katanya.
Beliau berkata, lebih 20 PATI warga Indonesia termasuk tekong berusia antara 23 hingga 53 tahun telah ditahan sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini.
Kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007) dan Akta Imigresen 1957/1963.
“Melalui video tular dalam TikTok ini, kita yakin kes tangkapan akan meningkat berikutan risikan Maritim Malaysia telah mengenal pasti lokasi aktiviti itu,” tegasnya.














