fbpx

Rico Henry pilihan terdesak United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HENRY menjadi antara pilihan United yang terdesak untuk mendapatkan pemain pertahanan kanan ekoran isu kecederaan melanda pemain-pemain mereka. - AFP

MANCHESTER – Situasi sukar dialami pada bahagian pertahanan kanan selepas dua pemain tonggak mengalami kecederaan memaksa Manchester United mungkin membuat pembelian panik sebelum tarikh tutup jendela perpindahan Jumaat ini.

United terpaksa kembali ke pasaran perpindahan untuk mendapatkan pemain di posisi berkenaan ekoran Luke Shaw berdepan kecederaan otot yang menyebabkan dia terpaksa diketepikan untuk tempoh yang agak lama selain Tyrell Malacia juga berdepan nasib yang sama.

Justeru, United dilapor menamakan pemain Brentford, Rico Henry sebagai sasaran mereka untuk dibawa ke Old Trafford selain beberapa nama lain antaranya, marc Cucurella, Sergio Reguilon dan Marcos Alonso.

Henry berjaya mempamerkan aksi cemerlang dan konsisten bersama Brentford sejak melengkapkan perpindahan dari kelab lamanya, Walsall pada 2016.

Dia hanya terlepas satu perlawanan Liga Perdana Inggeris musim lalu dan musim ini menyaksikan dia berada dalam kesebelasan utama pasukan itu untuk ketiga-tiga perlawanan awal musim.

Perpindahan ke United mungkin membuka peluang lebih besar buat Henry untuk menyertai skuad England ketika pengendali The Three Lions, Gareth Southgate dilihat berada di stadium ketika Brentford menentang Tottenham Hotspur untuk menyaksikan persembahannya.

Bagaimanapun, United perlu menyiapkan dana perpindahan yang cukup besar sekiranya benar-benar untuk mendapatkan Henry terutama ketika mereka kesuntukan masa selain pemain itu juga memiliki kontrak sehingga 2026 bersama Brentford. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI