PETALING JAYA – Stesen-stesen minyak di seluruh negara akan memberi tumpuan kepada pendapatan lain dalam jangka panjang selepas penjualan petrol dan diesel dijangka berkurangan ekoran penggunaan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara.
Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, syarikat stesen minyak akan menumpukan pendapatan melalui jualan kedai, selain mengurangkan pekerja di kawasan pam.
Menurutnya, ia merupakan sebagai persediaan pengusaha sama ada syarikat atau individu merangkumi dua pendekatan utama.
“Yang pertama adalah, kita fokus kepada pendapatan daripada kedai sebab kita tahu penjualan minyak akan beransur kurang secara perlahan-lahan. Yang kedua, kita adakan adakan tempat pengecasan di stesen dengan jumlah yang sesuai.
“Sekiranya EV bertambah dan pendapatan semakin berkurang daripada jualan minyak, mereka yang berkerja di luar (pam) akan diberhentikan dan stesen akan menggunakan pendekatan layan diri,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Selain itu, Khairul Annuar berkata, dengan menyediakan kafe dan kedai serbaneka yang lengkap, pengusaha dapat menambah pendapatan untuk menampung kos operasi stesen minyak.
“Apabila pengguna EV datang, mereka akan meluangkan masa 15 hingga 30 minit untuk cas kenderaan. Kalau kita ada kafe dan kedai yang lengkap, kita dapat kutip jualan melalui perniagaan tambahan.
“Jadi, pengusaha akan kurangkan pekerja terutama di luar stesen minyak dan akan memberi tumpuan kepada kedai serbaneka,” ujarnya.
Katanya, dari segi pengecasan, kadar bayaran bukan ditentukan pihak stesen kerana ia dikendalikan pihak ketiga (penyedia perkhidmatan) yang dijangka meningkat pada masa akan datang.
“Ketika ini, ada yang diberikan secara percuma, tetapi untuk jangka masa panjang mungkin akan kenakan bayaran kerana ia tentunya melibatkan kos tertentu.
“Bila ada kos, tentulah kena jual elektrik itu. Ada sesetengah penyedia macam Gentari dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dah mula jual per kilowatt jam (kWh) yang boleh diakses menerusi aplikasi,” jelasnya.
Bagaimanapun, Khairul Annuar berpandangan, penggunaan EV akan merosot berdasarkan permintaan kenderaan tersebut semakin menurun di beberapa negara lain.
“Jika kita lihat negara di Eropah atau Amerika Syarikat (AS), permintaan EV sudah mula jatuh. Early adopter (pengguna awal) ini, mereka akan beli semua ini tetapi lama-kelamaan ia merosot kerana faktor lain,” katanya.














