fbpx

Malaysia berdepan masalah kanak-kanak gemuk, kurus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lukanisman beramah mesra dengan para pelajar yang menyertai Projek Intervensi C-HAT di Sekolah Kebangsaan St Thomas, Kuching hari ini.

KUCHING – Malaysia sedang berdepan masalah beban berganda malpemakanan dengan peningkatan kadar obesiti di setiap peringkat umur dan masalah kekurangan pemakanan terutama dalam kalangan kanak-kanak bawah umur lima tahun.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan peningkatan prevalen berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak berumur 13 hingga 17 tahun telah meningkat daripada 24.6 peratus pada 2012 kepada 30.5 peratus pada 2022.

“Malaysia menduduki tangga kedua tertinggi kanak-kanak dan remaja obes di Asia Tenggara. Ternyata penemuan ini sangat membimbangkan kerana ia menunjukkan trend peningkatan prevalen berlebihan berat badan dan obesiti dan amalan corak pengambilan pemakanan yang tidak sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Kick-Off Projek Intervensi C-HAT iaitu satu usaha dalam menangani masalah obesiti di sekolah di Sekolah Kebangsaan St Thomas, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Norhayati Rusli, Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Ooi Choo Huck dan timbalan wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, Sanja Saranovic.

Lukanisman menambah, masalah itu juga merentasi semua kategori sosiodemografi termasuk kawasan bandar atau luar bandar, pendapatan isi rumah, kumpulan etnik, pekerjaan dan tahap pendidikan.

Menurutnya, kanak-kanak yang berlebihan berat badan dan obes berisiko untuk mendapat penyakit tidak berjangkit berkaitan pemakanan seperti diabetes dan hipertensi apabila dewasa kelak.

“Tambahan lagi, ramai kanak-kanak melihat skrin seperti permainan komputer, tablet, televisyen melebihi dua jam sehari. Tempoh masa yang lama itu dikaitkan dengan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak selain daripada pengambilan makanan yang berlebihan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata masalah kurus dalam kalangan remaja juga masih berlaku iaitu 7 peratus (NHMS 2012) dan meningkat kepada 8.3 peratus (NHMS 2022).

“Kajian NHMS 2017 juga melaporkan 92 peratus murid berumur 10 hingga 17 tahun tidak mengambil sayur-sayuran yang mencukupi dalam sehari, 67 peratus murid tidak mengambil buah-buahan mencukupi sehari dan 70 peratus murid tidak mengambil sarapan pagi,” katanya.

Justeru, beliau berkata dengan kenaikan angka-angka yang membimbangkan dan peningkatan beban penyakit, pencegahan dan pengawalan masalah beban berganda malpemakanan merupakan satu cabaran besar kepada penjagaan kesihatan negara sekiranya masalah itu tidak dibendung. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI