fbpx

Tabung Haji urus jemaah masuki Raudhah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tabung Haji akan menguruskan permohonan jemaah haji untuk memasuki Raudah melalui aplikasi Nusuk mengikut kumpulan penerbangan.

MADINAH – Permohonan aplikasi Nusuk untuk jemaah haji Malaysia memasuki Raudhah akan dibuat mengikut kumpulan penerbangan.

Naib Konsul Haji Malaysia merangkap Pengarah Operasi Madinah, Ashrof Shamsuddin berkata, permohonan menerusi aplikasi itu akan dilaksanakan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) berdasarkan tarikh ketibaan jemaah haji di Arab Saudi.

Selain itu, katanya, jadual akan diberi mengikut zon tempat menginap jemaah bagi mengetahui pergerakan menziarahi Rau­dhah.

“Kita akan buat permohonan dalam sistem mengikut kumpulan untuk memasuki Raudhah kerana ia tidak boleh dibuat menerusi permohonan individu. Permohonan aplikasi Nusuk ini bergantung pada kelulusan ke­rana dikawal dan disusun pihak pengurusan Masjid Nabawi.

“Apa yang pasti terdapat perbezaan jadual antara setiap kumpulan.

“Mereka akan dipimpin oleh pembimbing ibadah haji atau guru agama dengan diiringi petugas.

“Permit rentas akan diberikan kepada penjaga pintu dan jemaah akan memasuki Rau­dhah mengikut slot masa,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Tabung Haji di Madinah, Roha Al-Madinah hari ini.

Sebagai rekod, aplikasi Nusuk diperkenalkan Arab Saudi pada tahun 2022 untuk jemaah haji dan umrah yang berhasrat ­mengunjungi Raudhah serta Makam Nabi Muhammad SAW yang terletak di kawasan Masjid Nabawi.

Tambah Ashrof, Tabung Haji akan membuat permohonan untuk kumpulan penerbangan pertama dan kedua sebaik tiba nanti.

Dalam pada itu, Ashrof berkata, untuk jemaah haji yang berusia, Tabung Haji akan melihat kepada keupayaan individu tersebut.

“Untuk orang yang berusia pula, kita akan melihat ke­upayaan jemaah. Kalau boleh berjalan tetapi dalam keadaan perlahan, kita akan kenal pasti sama ada mereka mempunyai waris atau sebaliknya.

“Kalau tiada waris, kita ada petugas yang akan bantu perge­rakan jemaah dari penginapan sampai ke Masjid Nabawi. Kalau tidak boleh berjalan tetapi sihat, kita mempunyai kerusi roda untuk membantu jemaah ke Raudhah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI