EMMA MAEMBONG

Kalau boleh saya nak beranak setiap tahun – Emma Maembong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERGELAR ibu kepada dua orang cahaya mata sudah cukup membuatkan pelakon jelita, Emma Maembong rasa kehidupannya kini lengkap.

Ketika memutuskan untuk mengakhiri zaman bujang dengan pasangan pilihan, Muhammad Shazli Azhar pada 20 Februari 2020, Emma sudah mula mengimpikan untuk membina keluarganya sendiri.

Punya anak-anak yang menjadi penyeri hidup, biarpun mengakui tugas sebagai seorang ibu bukannya mudah, itu yang dimahukan pemilik nama lengkap Fatimah Rohani Ismail tersebut.

Kesempatan bersua muka dengan pelakon berdarah campuran Melayu-Scottish di sebuah acara hiburan baru-baru ini, Emma menyingkap kehidupannya bersama keluarga.

Selepas dikurniakan cahaya mata kedua, Shakil Aryan Shah yang kini berusia tiga bulan, Emma tidak menunggu lama untuk kembali aktif dalam lapangan kerjaya seninya.

Pun begitu, dia mengakui bukan mudah sebenarnya untuk dia meninggalkan kedua-dua cahaya matanya yang masih kecil sewaktu keluar bekerja.

Keibuan

Naluri seorang ibu, rasa rindu dan mahu sentiasa dekat dengan ‘permata’ yang dikurniakan cukup kuat, sehinggakan tidak boleh lama berjauhan dengan mereka.

“Saya memang tidak boleh berjauhan dengan anak-anak. Sebab itu walaupun sesibuk mana, saya mahu anak-anak sentiasa ada dengan saya.

“Jadi salah satu cara, saya akan bawa anak-anak, suami dan seorang pembantu ke set penggambaran. Saya jadi lebih gembira dan bersemangat untuk bekerja jika mereka ada bersama,” katanya.

Emma tidak kisah ‘berbelanja’ sendiri asalkan suami dan anak-anaknya sentiasa berada di sisi termasuk ketika turun ke set penggambaran.

Ujar pelakon berkulit putih melepak itu lagi, dia bersyukur apabila pihak produksi faham dengan situasi tersebut dan tidak pernah menghalangnya untuk membawa bersama keluarga ke lokasi penggambaran.

“Saya bersyukur kerana pihak produksi faham dan tidak pernah menghalang saya untuk membawa bersama keluarga saya.

“Malah, mereka (produksi) juga tidak pernah berkira atau menolak permintaan jika saya minta disediakan bilik besar untuk kami sekeluarga.

“Jika tiada peruntukan (bajet), saya pun tidak kisah untuk keluarkan belanja sendiri, asalkan suami dan anak-anak ada di depan mata saya,” ujarnya.

Bukan tidak pernah cuba berjauhan dengan keluarga ketika bekerja, namun keadaan itu akhirnya membuatkan jiwanya tersiksa.

Kata Emma, sebelum ini dia pernah menjalani penggambaran sebuah drama di Kelantan dan terpaksa meninggalkan suami dan anak-anak di rumah. Namun, dia tidak dapat menahan perasaan rindu sehingga menangis mengenangkan keluarga.

“Pernah jalani penggambaran di Kelantan dan tidak membawa keluarga bersama. Perasaan rindu sangat membuak-buak sehinggakan saya menangis kerana teringatkan mereka.

“Kesudahannya, saya telefon suami, minta dia bawa anak-anak dan pembantu ke Kelantan untuk bersama saya sehingga habis penggambaran,” katanya sambil ketawa.

Jaga hati

Memandangkan Emma sudah pun memiliki dua cahaya mata, kakak kepada Chacha Maembong itu memberitahu, dia perlu bijak untuk membahagikan masa melayan kanak-anaknya dengan adil, lebih-lebih lagi bagi yang sulung, Shariq Gabriel yang kini berusia dua tahun.

Kata Emma, sudah lumrah bagi seorang ibu yang memiliki bayi, keutamaan dan perhatian selalunya akan dilebihkan pada si kecil, berbanding anak yang sudah semakin membesar.

Namun, dia tidak tegar untuk berbuat demikian kerana bimbang ia menjejaskan emosi Gabriel.

Kata Emma, dia mengimpikan keluarga yang besar iaitu 11 orang anak yang juga merupakan bilangan adik-beradiknya. 

“Saya perlu bersikap adil kerana tidak mahu anak sulung, Shariq Gabriel terasa hati hingga menjejaskan emosinya.

“Selepas bersalin anak kedua, setiap kali pulang dari kerja, saya akan peluk dan belai dahulu anak yang sulung. Paling tidak meluangkan sedikit masa dengannya. Selepas itu barulah saya layan pula si kecil (Shakil Aryan Shah).

“Saya buat begitu supaya Gabriel tidak ‘terasa’ selepas dapat adik. Lama-lama, saya nampak dia boleh terima cara begitu dan semakin sayang dengan adiknya,” ujar Emma.

Tambah anak

Dalam pada itu, Emma tidak menolak rezeki menimang cahaya mata ketiga dalam masa terdekat, walaupun baru sahaja menimang anak kedua.

Kata Emma, dia mahu anak yang ramai, sama seperti adik-beradiknya iaitu seramai 11 orang.

“Kalau diikutkan, saya mahu beranak setiap tahun.
Cuma, belum ada rezeki kerana untuk dapatkan anak kedua ini, ada jurang dua tahun.

“Saya hendak anak ramai kerana saya datang daripada keluarga yang besar, iaitu 11 adik-beradik.

“Saya sudah biasa dengan suasana riuh rendah. Masa mula-mula kahwin, terutama pada hari raya, saya amat sunyi hingga menangis,” katanya penuh harapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN